USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-PTPTN METERAI MoU TEROKA PELUANG TINGKATKAN KESEDARAN PENABUNGAN SSPN DAN PEMBAYARAN BALIK PINJAMAN

IMG 0067

USM PULAU PINANG, 14 Nov. 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi memeterai kerjasama strategik untuk meneroka peluang dalam meningkatkan kesedaran berhubung kepentingan penabungan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) dan pembayaran balik pinjaman PTPTN untuk menjamin masa depan pendidikan anak-anak.

Majlis penandatanganan MoU itu disempurnakan oleh Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat, Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor USM bersama Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid disertai Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid bersama Pengarah Pembangunan Korporat Strategik USM, Muhamad Haji Sabri Said. Majlis turut disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar.

Kerjasama strategik tersebut membolehkan kedua-dua pihak berganding bahu untuk membangun, menyokong dan memperkasa usaha-usaha penyelidikan dalam mengenal pasti kaedah terbaik untuk meningkatkan pembayaran balik pinjaman pendidikan di samping menggalakkan simpanan pendidikan bagi jaminan masa depan pendidikan tinggi anak-anak untuk melahirkan graduan yang berkualiti.

IMG 0091

Menurut Narimah, MoU bersama PTPTN banyak berkaitan dengan seluruh warga USM dalam bidang penyelidikan serta pembangunan idea-idea baharu demi manfaat semua.

“Penandatanganan persefahaman pada hari ini bakal mewujudkan suatu hubungan baharu yang mampu diterjemah dan diperluas dalam pelbagai bidang lain pada masa akan datang,” katanya.

Tambah Narimah, beliau berharap agar kerjasama ini berupaya membangunkan modal insan dalam kalangan pelajar USM melalui pelbagai inisiatif program kemahiran yang berkualiti supaya graduan dapat memenuhi keperluan industri apabila tamat pengajian nanti.

Sementara itu, Ahmad Dasuki berkata sebagai agensi yang berada dalam satu bumbung, iaitu KPT, PTPTN dan USM mempunyai hubungan yang sangat baik dalam usaha memastikan semua pelajar mendapat akses pendidikan tinggi.

IMG 0045

“Kerjasama dengan USM dilihat sangat tepat sebagai salah satu usaha proaktif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terutama generasi muda yang bakal menjadi ibu bapa mengenai penabungan dan kerjasama ini juga sangat signifikan untuk mendidik para pelajar tentang kepentingan membuat bayaran balik pinjaman bagi kelestarian pinjaman kepada generasi akan datang,” katanya.

Kolaborasi itu secara menyeluruh berfokus kepada:

  • Meningkatkan kemahiran dan pengetahuan graduan yang berkualiti agar berupaya memenuhi keperluan industri;
  • Pembudayaan penabungan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi seluruh warga USM melalui pelbagai program;
  • Penyelidikan dan pembangunan untuk meningkatkan kefahaman pelajar terhadap bayaran balik pinjaman dan kepentingan penabungan;
  • Pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada kakitangan USM dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime; dan
  • Penyampaian informasi dan promosi melalui medium hebahan yang bersesuaian.

Hadir sama pada majlis adalah Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi USM, Profesor Dr. Md Roslan Hashim; Pendaftar USM, Dato’ Dr. Musa Ali; Ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Tinggi USM serta pegawai-pegawai utama PTPTN dan USM.

Sumber: Kenyataan media bersama USM & PTPTN/Olahan: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 535

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024