USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM ANJUR FORUM MEJA BULAT UNIVERSITI AWAM; CAPAI RESOLUSI TANGANI CABARAN GANGGUAN SEKSUAL

Forum Meja Softcopy

USM PULAU PINANG, 10 Nov. 2022 – Gangguan seksual adalah satu bentuk keganasan berasaskan gender yang menghalang mangsa menikmati hak asasi manusia dan hasil pembangunan secara adil dan saksama.

Isu ini telah lama menjadi cabaran dalam ruang pekerjaan dan pendidikan di Malaysia.

Malah beberapa kes di Universiti Awam (UA) pernah dilaporkan melibatkan staf dan pelajar di institusi terbabit.

Menyedari akan permasalahan ini, Jawatankuasa Teras Gangguan Seksual (JTGS) Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah ditubuhkan pada tahun 2013 mengambil inisiatif menganjurkan satu Forum Meja Bulat Gangguan Seksual Universiti Awam Malaysia yang julung kalinya diadakan untuk membincangkan pengendalian kes gangguan seksual dengan lebih berkesan.

Forum tersebut yang dirasmikan oleh Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat, Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor USM, telah diadakan di Dewan Persidangan Universiti (DPU), USM dan melibatkan 14 UA seluruh Malaysia.

Objektif forum tersebut adalah untuk berkongsi pengalaman dan penyelesaian bagi menghasilkan satu resolusi yang akan membantu UA mengendalikan isu gangguan seksual secara menyeluruh dengan mengambil kira aspek keadilan dan kesaksamaan kepada pihak yang terlibat.

Turut hadir ialah Pengerusi JTGS USM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Forum Meja Bulat Gangguan Seksual UA Malaysia, Profesor Dr. Hajar Abdul Rahim; Timbalan Pengerusi JTGS USM, Profesor Dato’ Dr. Noraida Endut; Profesor Kehormat merangkap Penceramah Forum Meja Bulat Gangguan Seksual, Profesor Emerita Dato’ Dr. Rashidah Shuib; Timbalan Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr. Senutha Poopale Ratthinan; dan Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Pulau Pinang, Ahmad Shukri Jamaluddin.

Teks: Nurhidayah Shahbuddin/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 289

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024