USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ITS INDONESIA DAN USM PERKUKUH KERJASAMA DUA HALA

Courtesy Visit ITS Softcopy

PULAU PINANG, 4 NOVEMBER 2022 - Universiti Sains Malaysia (USM) menerima kunjungan hormat daripada Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS) Surabaya, Indonesia. Tetamu dari ITS diketuai oleh Dr. Astria Nur Irfansyah yang merupakan Pengurus Kanan Kerjasama Antarabangsa, Emharis Gigih Pratama dari Bahagian Pelajar Antarabangsa dan Vidian Ade Mauludi, Pegawai Mobiliti Pelajar ITS.

Kedatangan para tetamu tersebut disambut oleh YBhg. Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat yang menjalankan fungsi Naib Canselor di Bilik Persidangan Canselori, Aras 6, Bangunan Canselori.

Profesor Dato’ Dr. Gs. Narimah mengucapkan selamat datang dan terima kasih kepada pihak ITS atas kunjungan tersebut. Beliau turut mengalu-alukan sebarang kerjasama antara USM dan ITS dalam penyelidikan dan bidang akademik, tambahan pula USM dan ITS sebelum ini sememangnya telah mempunyai perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah terjalin. Kedua-dua institusi juga sedang bekerjasama dan giat menjalankan beberapa aktiviti terutamanya yang berkaitan dengan pertukaran pelajar, pensyarah dan kakitangan akademik.
ITS yang merupakan sebuah universiti awam di Surabaya, Indonesia yang ditubuhkan pada tahun 1960. Sebagai universiti berasaskan penyelidikan dan inovasi, ITS mempelopori dalam teknologi, kejuruteraan, sains, seni dan reka bentuk yang memfokuskan kepada pembangunan maritim dan industri dengan tujuan memajukan kemanusiaan. ITS juga komited kepada matlamat pembangunan lestari selain mempunyai Taman Sains Techno dalam bidang automotif, teknologi maritim, ICT dan robotik dan reka bentuk kreatif. Pada ketika ini ITS mempunyai seramai lebih 24,000 pelajar termasuk pasca siswazah.

Dalam perbincangan yang diadakan Dr. Astria Nur Irfansyah berharap agar kerjasama antara USM dan ITS yang sedia terjalin terus diperatkan lagi. Menurut beliau pada kunjungan kali ini ITS bercadang untuk mengadakan perbincangan ke arah kerjasama dengan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ).

IMG 0036

Telah ada beberapa langkah ke arah meningkatkan lagi kerjasama antara ITS dan PPPJJ. Antaranya menurut beliau pihak ITS telah menjemput Ts. Chm. Dr Sumiyyah Sabar dan Chm. Dr Enis Nadia Md Yusof dari PPJJ serta Profesor Dr. Khairunisak Abdul Razak dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral pada penghujung September 2022 sebagai pensyarah pelawat dalam minggu mobiliti pengajaran ITS.

Dengan hubungan yang sedia terjalin ini ITS berharap kedua-dua institusi akan membuka lebih ruang, peluang serta potensi untuk jajaran kerjasama akademik dan penyelidikan yang lebih erat serta mengenal pasti cara untuk mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua belah pihak.

Dr. Astria juga berharap akan lebih ramai pelajar dari USM dan ITS yang akan mengikuti pengajian dalam bentuk pertukaran pelajar di kedua-dua institusi. Menurutnya pada ketika ini telah ada pertukaran pelajar dari USM tetapi cuma terhad dalam bentuk jangka pendek iaitu selama 2 minggu.

Beliau berharap agar lebih ramai pelajar USM dapat mengikuti pengajian di ITS dan ITS juga berhasrat menghantar lebih ramai pelajar ke USM untuk mendapatkan pendedahan dan keperluan program pertukaran pelajar sekurang-kurangnya selama satu semester.

Sementara itu, Narimah juga mengalu-alukan hasrat ITS tersebut dan akan berusaha ke arah kerjasama yang lebih luas dengan pihak ITS. Beliau turut bersetuju agar menambah bilangan pertukaran pelajar antara kedua-dua institusi.

Sebagai permulaan Narimah menyarankan mungkin boleh diadakan kerjasama secara maya terlebih dahulu dalam bidang-bidang tertentu sebelum dipertingkat lagi apabila perjanjian dimuktamatkan kelak.

Tambahnya lagi USM sememangnya telah membuat jaringan dengan dengan pelbagai pihak dari luar negara dimana program-program akademik USM telah ditawarkan di negara luar seperti di India yang telah berlangsung selama 10 tahun dalam bidang perubatan dan kerjasama dengan institusi swasta di Turki yang berkongsi tenaga pengajar.

Pelajar yang bergraduasi melalui kerjasama ini mendapat pengijazahan dari USM tetapi tempat, kemudahan dan kelengkapan disediakan oleh pihak institusi negara luar.

Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Dekan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Profesor Madya Dr. Zulnaidi Yaacob, Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan & Sumber Mineral, Profesor Dr. Hazizan Md Akil, Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti PPPJJ, Ts. Chm. Dr Sumiyyah Sabar, Pensyarah PPPJJ, Chm. Dr Enis Nadia Md Yusof, Timbalan Pendaftar PPPJJ, Encik Mohd. Rashid Abdul Rejab, Pegawai Tadbir Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa (IMCC), Cik Clarene Tan Chern Chieh dan Ketua Penolong Pendaftar, Bahagian Akademik & Antarabangsa, Encik Amirullah Zainal Abidin.

Teks : Zamzami Rasidi

  • Created on .
  • Hits: 369

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024