USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TUAN RUMAH KONVENSYEN ANTARABANGSA PEMBANGUNAN EKONOMI ISLAM 2022

USM 0019

USM PULAU PINANG, 31 Oktober 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah diberi penghormatan bagi menganjurkan Konvensyen Antarabangsa Pembangunan Ekonomi Islam 2022 (KAPEI 2022) yang bertemakan “Kerjasama Serantau Untuk Pembangunan Islam” bertempat di Dewan Budaya USM pada 27 Oktober yang baru berlalu.

Penganjuran KAPEI 2022 oleh Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) ini merujuk kepada sumber pembentangan melalui hasil kajian ilmiah yang telah dijalankan sejak tahun 2009 berkaitan tahaluf siyasi.

Majlis perasmian KAPEI 2022 telah disempurnakan oleh Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat, Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor USM.

“ISDEV dilihat telah menaikkan nama USM di bawah bidang pengurusan, secara khususnya dalam Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam sehingga diiktiraf Senat Universiti sebagai salah sebuah Pusat Kecemerlangan pada tahun 2014,” kata Narimah dalam ucapan perasmiannya.

Tambah Narimah lagi, beberapa aktiviti akademik yang dijalankan oleh ISDEV secara konsisten ialah persidangan, seminar akademik dan kursus-kursus jangka pendek di peringkat dalam dan luar negara.

“Kali ini, ISDEV mengorak satu lagi langkah terkehadapan iaitu menganjurkan konvensyen antarabangsa,” kata beliau.

Terdapat beberapa sesi dalam atur cara yang disenaraikan di bawah KAPEI 2022 ini iaitu Pembangunan Ekonomi Islam, Pembangunan Politik Islam dan Pembangunan Sosial Islam yang menggambarkan keterangkuman bidang-bidang kajian di ISDEV.

Selaras dengan hasrat universiti, tema konvensyen yang dipilih kali ini bertumpu kepada kerjasama untuk pembangunan Islam khususnya dalam Pembangunan Ekonomi Islam.

Pada masa yang sama, sebuah buku nukilan Dr. Mohd Syakir Mohd Rosdi, Mohd Zaini Abu Bakar dan Dr. Warjio yang bertajuk “Tahaluf Siyasi dalam Pembangunan Islam” turut dilancarkan pada majlis ini.

Objektif dan matlamat KAPEI 2022 adalah untuk memperkenalkan bidang Ekonomi Politik Islam sebagai penyelesaian kepada pembangunan ekonomi Islam dalam masyarakat awam yang terdiri daripada pengamal, pengurus, sarjana, penyelidik, ahli akademik, pelajar siswazah dan pendidik dari pelbagai negara dunia.

Yang turut hadir di konvensyen ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang, Dato’ Amran Hazali; Pengarah ISDEV USM, Profesor Madya Dr. Shahir Akram Hassan; Ketua Unit Agama, Bahagian Buku Umum Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Marsilawati Mohamad Rani; dan Pesuruhjaya Majlis Dakwah Negara (Pulau Pinang) merangkap Pengarah Program KAPEI 2022, Dr. Mohd Syakir Mohd Rosdi.

Teks: Nurhidayah Shahbuddin/Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 477

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024