USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROGRAM PEMBANGUNAN PELAN PENGGANTIAN TINGKAT KEMAHIRAN PESERTA MERANCANG ORGANISASI

WhatsApp_Image_2022-10-30_at_1.21.42_PM.jpeg

KOTA KINABALU, 29 Oktober 2022 – Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA), Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan Program Membangunkan Pelan Penggantian: Strategi dan Teknik Pelaksanaan, khusus bagi melatih para peserta membuat perancangan yang efisien dalam memperkasa organisasi.

Program berbentuk latihan kompetensi yang disertai seramai 52 peserta dari 31 agensi dari seluruh negara itu turut berperanan untuk melatih para pemimpin organisasi menguruskan pelan penggantian bagi memastikan kesinambungan prestasi organisasi, bahagian atau jabatan kekal berterusan.

Majlis penutup program yang dijalankan secara komprehensif dalam dua sesi berasingan itu telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pembangunan), Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Josie Lai. Hadir sama ialah Pengarah PIPPA USM, Dato’ Dr. Musa Ali.

WhatsApp_Image_2022-10-30_at_1.27.24_PM.jpeg

Josie dalam ucapannya berkata, pelan penggantian adalah tindakan yang dilakukan oleh organisasi untuk menyediakan pengganti yang sesuai dan bersedia sepenuhnya pada masa yang diperlukan untuk memimpin organisasi.

“Fokus pelan penggantian adalah untuk mengenal pasti jawatan yang strategik dalam organisasi dan mewujudkan kumpulan bakat (talent pipe-line) dengan menyediakan calon pengganti untuk kekosongan dalam organisasi apabila penyandang bersara, tamat kontrak atau berpindah tempat kerja.

“Justeru, menjadi harapan saya supaya para peserta dapat memanfaatkan segala ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh dengan sebaiknya dan dapat dilaksanakan di organisasi masing-masing,” ujar beliau lagi.

WhatsApp_Image_2022-10-30_at_1.30.49_PM.jpeg

Selaku pengendali, Musa pula berkata, program berkenaan direka khusus untuk memperkasa para pemimpin organisasi untuk memimpin organisasi secara efisien, sekaligus meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada organisasi dan masyarakat.

Katanya, program itu turut menerapkan empat elemen utama yang diperincikan termasuk teknik mengenal pasti jawatan strategik, analisis pekerjaan dan analisis jurang kompetensi, kaedah menilai kesediaan calon penggantian dan merangka pelan tindakan jabatan masing-masing.

Dalam pada itu, salah seorang peserta, Mohd Firdaus Ab Latif dari Kementerian Pengangkutan berkata, Kursus Pembangunan Pelan Penggantian ini merupakan kursus paling lengkap pernah dihadiri beliau berkaitan pelan penggantian.

“Kursus ini menyentuh teori dan paling penting panduan praktikal dengan template dan strategi pelaksanaan yang bermanfaat untuk dilaksanakan dalam organisasi.

WhatsApp_Image_2022-10-30_at_1.32.28_PM.jpeg

“Sesi-sesi latihan dan perkongsian oleh PIPPA mendedahkan saya kepada senario sebenar cabaran pelaksanaan pelan penggantian yang amat membantu dalam mengenal pasti isu-isu berbangkit dan kaedah penyelesaian,” ujar beliau.

suziana22.jpg

Suziana Baharom Ulom dari Jabatan Perdana Menteri pula berkata, program berkenaan telah memberikan pendedahan dan meningkatkan lagi pemahaman peserta berhubung strategi dan teknik pelaksanaan pelan penggantian yang lebih sistematik.

“Program ini juga sebagai panduan kepada Pengurus Sumber Manusia dari pelbagai agensi dalam merancang pelan penggantian yang lebih komprehensif untuk jangka masa panjang,” katanya lagi.

WhatsApp_Image_2022-10-30_at_1.33.32_PM.jpeg

Seorang lagi peserta, Noorul Akmam Sumiran dari Kementerian Pengajian Tinggi berkata, program ini sangat membantu beliau selaku pengurus sumber manusia untuk memahami dengan lebih jelas berkenaan teknik mengenal pasti pegawai yang berkelayakan bagi mengisi jawatan strategik di agensi untuk memastikan kesinambungan hala tuju agensi supaya tidak berlaku pembaziran sumber.

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Ihsan PIPPA USM 

  • Created on .
  • Hits: 960

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024