USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PEKA KESEJAHTERAAN PSIKOLOGI WARGA KAMPUS

IMG 0078

USM PULAU PINANG, 29 Oktober 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) sentiasa peka memastikan kalangan warga kampus iaitu staf dan pelajar terus komited menjalankan tugas dan mengikuti pembelajaran dengan baik tanpa sebarang gangguan psikologi melalui penganjuran pelbagai program dan kursus kesihatan mental.

Menyedari peningkatan krisis kehidupan pada masa kini, ditambah pula dengan pandemik COVID-19, USM telah mengambil pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kesejahteraan mental dalam kalangan warga staf dan pelajar USM khususnya.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlinda Azman berkata, USM menganjurkan pelbagai program dan pengisian berbentuk webinar secara berterusan dalam usaha meningkatkan kesedaran warga kampus terhadap perkara ini.

IMG 0057

"Aspek kesejahteraan psikologi perlu diperkasa. Masyarakat kini mula peka dan cakna terhadap kepentingan penjagaan kesihatan mental selepas seluruh dunia dikejutkan dengan pandemik COVID-19 sejak tahun 2020 yang lalu.”

"Di USM sendiri, pelbagai program diadakan antaranya Wacana Kaunseling dan Kesejahteraan Psikologi (WaKEP) USM 2022 ke-2 pada 11-12 Oktober lalu termasuk 11 siri ceramah berkenaan topik-topik psikologi dan sosial yang diadakan secara maya sempena Sambutan Bulan Kaunseling pada bulan ini menerusi Facebook Live Perkhidmatan Perundingan dan Kaunseling Staf USM," ucap beliau ketika merasmikan Majlis Penutup Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan Peringkat USM 2022 di Dewan Persidangan Universiti, di sini hari ini.

IMG 0035

Azlinda turut menambah, ini menunjukkan USM amat mengambil berat mengenai kesejahteraan mental dan psikologi warga kampus kerana kesejahteraan psikologi sangat penting dalam mempengaruhi kesihatan mental dan fizikal seseorang.

"Terima kasih buat Perkhidmatan Perundingan dan Kaunseling Staf USM dan Unit Kaunseling BHEPA dengan kerjasama Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) dan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) di atas penganjuran Sambutan Bulan Kaunseling ini," kata Azlinda lagi.

Pada majlis yang sama, beliau turut menyempurnakan pelancaran Mobile Apps Intervensi Krisis RPSD (M-RPSD) yang sedang dibangunkan oleh penyelidik-penyelidik Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM.

IMG 0049

M-RPSD ini merupakan kit lengkap yang dibangunkan khas untuk diakses oleh pembimbing (helpers) dan Kaunselor dalam mengendalikan kes-kes krisis dengan merujuk kepada empat peringkat dalam proses menangani krisis iaitu 'R - Rapport', 'P - Penaksiran', 'S - Sokongan', dan 'D - Daya Tindak'.

Yang turut hadir ke majlis adalah Dekan PPIP USM, Profesor Madya Dr. Rahimi Che Aman; wakil Pengarah Pusat Pengetahuan Komunikasi dan Teknologi (PPKT) USM, Azrul Abdul Latif dan Pegawai Psikologi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Cawangan Bertam, Nathir Mehamed.

Pada majlis yang sama, turut berlangsung ialah Seminar Krisis yang menyajikan beberapa sesi perkongsian yang bermanfaat daripada penceramah jemputan iaitu:

  • Pengenalan Krisis dan Intervensi Krisis oleh Profesor Madya Dr. Nor Shafrin Ahmad (Pensyarah Kaunseling dan Psikologi PPIP);
  • Tips Dalam Mengendalikan Kes-Kes Krisis Dengan Berkesan dan Etika Dalam Mengendalikan Kes-Kes Krisis oleh Profesor Madya Dr. Wan Marzuki Wan Jaafar (Presiden Lembaga Kaunselor Malaysia);
  • serta satu perkongsian yang dibuat secara maya iaitu Kaedah dan Prosedur Mengendalikan Kes Self Harm dan Attempted Suicide oleh Profesor Dr. Mansor Abu Talib (Pensyarah UCSI University).

“Emosi Sejahtera, Hidup Bahagia” merupakan tema Sambutan Kaunseling Kebangsaan pada tahun ini, selari dengan hasrat Kerajaan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap perkhidmatan kaunseling dan kepentingan perkhidmatan kaunseling profesional dalam membantu masyarakat menjalani kehidupan secara sihat dan sejahtera.

Teks: Nurhidayah Sabuddin/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 607

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024