KEHEBATAN DAN KELESTARIAN BAHASA MELAYU DALAM PENGURUSAN PERNIAGAAN DIKUPAS DALAM SYARAHAN PERDANA
USM PULAU PINANG, 28 Oktober 2022 – Bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan 2022, Unit Pemartabatan dan Pengantarabangsaan Bahasa Melayu, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka hari ini telah menganjurkan sesi Syarahan Perdana Bahasa Melayu yang bertajuk Kelestarian Bahasa Melayu dalam Pengurusan Perniagaan: Membugar Paradigma yang dibentangkan oleh Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2021, Profesor Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul.
Syarahan Zafir menyentuh tentang kehebatan bahasa Melayu dalam pengurusan perniagaan, yang mana bahasa ini merupakan bahasa lingua franca pedagang Kepulauan Melayu zaman Kesultanan Melayu Melaka dan pelabuhan besar di dunia.
Zafir juga membentangkan peranan Bahasa Melayu, cabaran memartabatkan Bahasa Melayu, kelestarian Bahasa Melayu dalam pengurusan dan peribahasa Melayu melayari zaman.
Antara perkongsian Zafir ketika membentangkan peribahasa Melayu melayari zaman adalah peribahasa yang membawa perkaitan dalam konteks pengurusan yang berkaitan dengan seorang pemimpin yang membentuk dan menstruktur sesebuah organisasi.
Fokus utama Zahir dalam pembentangan itu adalah untuk memberi pemahaman bagaimana sesebuah organisasi memerlukan pemimpin yang bijaksana agar struktur organisasi akan lebih utuh dan kuat.
Beliau menyimpulkan bahawa Bahasa Melayu merupakan khazanah bernilai tinggi yang perlu diperkasa setiap warga kerana ia bukannya milik orang Melayu, sebaliknya Bahasa Melayu adalah milik semua.
Turut diselitkan pada majlis yang sama adalah Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama antara USM dengan Persatuan Persahabatan Malaysia-China dalam Projek Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di negara China.
Majlis penandatanganan MoU itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat, disertai Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China, Datuk Abdul Majid Ahmad Khan bersama Dekan PPIK USM, Profesor Madya Dr. Jasni Sulong dan Penasihat Eksekutif Persatuan Persahabatan Malaysia-China, Ts. Haji Abdul Aziz How Abdullah.
Melalui MoU yang berkuatkuasa selama lima tahun tersebut, kedua-dua pihak akan meneroka peluang bekerjasama dalam program pertukaran pelajar dan/atau staf; pembangunan program akademik secara bersama; projek penyelidikan dan pembangunan (R&D); pengendalian bersama latihan, seminar dan bengkel; dan juga pertukaran penerbitan yang dihasilkan.
Hadir sama ke majlis adalah wakil Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Roshasliza Sulaiman; Penyelaras Unit Pemartabatan dan Pengantarabangsaan Bahasa Melayu PPIK merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Syarahan Perdana 2022, Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong; pegawai-pegawai utama Persatuan Persahabatan Malaysia-China dan Dewan Bahasa dan Pustaka serta pegawai-pegawai utama USM dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 682