USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TERIMA BAP, SIR CORNER DARIPADA YAYASAN BANK RAKYAT

BAP4.jpeg

USM PULAU PINANG, 26 Oktober 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah menerima Bantuan Awal Pengajian (BAP) sebanyak RM100,000 dan Serambi Ilmu Rakyat (SIR) Corner bernilai RM15,000, hasil sumbangan Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Dato' Haji Mohd Shahrizal Haji Sahri yang hadir untuk penyerahan replika cek sumbangan berkata, bantuan awal pengajian ini diwujudkan bagi membantu para pelajar membuat persediaan awal untuk memulakan sesi pengajian mereka.

“Pihak YBR menyalurkan bantuan tersebut dengan harapan ia akan menjadi pembakar semangat kepada para pelajar untuk terus berusaha menggapai impian bagi mengubah kehidupan keluarga,” kata Mohd Shahrizal yang turut menekankan bahawa ‘kemiskinan bukanlah sesuatu yang perlu diwarisi.’

Seramai 100 orang pelajar USM dari golongan B40 terpilih bagi menerima bantuan ini, dengan jumlah RM1,000 setiap seorang. 

Menerima bagi pihak USM ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlinda Azman.

BAP2.jpeg

Dalam ucapan aluannya, Azlinda mengucapkan terima kasih kepada YBR di atas sumbangan tersebut.

“USM berbesar hati menerima bantuan kewangan pelajar B40 dan sumbangan SIR Corner ini, dan saya yakin sumbangan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar," ujar beliau.

Tambah Azlinda lagi, dengan adanya sumbangan daripada YBR ini, ia dapat membantu para pelajar memulakan pengajian di universiti dengan lebih baik.

BAP3_1.jpeg

“SIR Corner yang ditempatkan di Perpustakaan Hamzah Sendut 1 pula akan menjadi tambahan nilai kepada sumber maklumat yang disediakan oleh Perpustakaan.

“Kesemua ini selari dengan pembangunan agenda HEBAT untuk melahirkan mahasiswa yang holistik dan HEBAT dalam semua aspek,” tambahnya.

BAP1.jpeg

Majlis Penyerahan BAP dan Pelancaran SIR Corner tersebut telah berlangsung di The Bricks, USM Kampus Induk, pada 19 Oktober yang lalu.

Turut hadir adalah Pemangku Ketua Pustakawan USM, Mohd Nasir Md Rashid; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; pengurusan kanan universiti yang terlibat, pegawai pengurusan YBR serta pelajar USM yang menerima bantuan.

Teks asal dan Foto: Asma Wati Ibrahim (PUSM), Sheilawanis Abdul Karim (BHEPA)/Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 534

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024