KENYATAAN MEDIA SAMBUTAN HARI AKADEMIA TAHUN 2022 – "AKADEMIA MEMACU KESEJAHTERAAN KOMUNITI"
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 September 2019 telah bersetuju dengan cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengiktiraf tarikh 5 Oktober pada setiap tahun sebagai Hari Akademia dan bulan Oktober sebagai Bulan Akademia.
Sambutan itu akan turut melibatkan seluruh kakitangan akademik di pelbagai peringkat pengajian lepasan sekolah yang merangkumi Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Institusi Pendidikan Guru (IPG), Politeknik, Kolej Komuniti, Kolej Matrikulasi serta Institut Latihan dan Kemahiran (ILK) dalam bidang Technical and Vocational Education and Training (TVET).
Ini adalah bagi meraikan segala sumbangan, pencapaian dan pengorbanan para pensyarah kepada dunia akademia.
Pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga dalam surat hebahan, menyeru semua yang dinyatakan di atas untuk mengadakan program-program pengisian bersifat ilmiah dan kemasyarakatan sepanjang bulan Oktober ini di peringkat universiti/institut masing-masing bagi meraikan Bulan Akademia.
Tahun ini adalah tahun keempat sambutan Hari Akademia di negara kita sejak diperkenal dan diwartakan pada 2019.
Bersempena dengan sambutan Hari Akademia tahun 2022, pihak KPT telah mengeluarkan kenyataan media seperti berikut.
"Akademia Memacu Kesejahteraan Komuniti" telah dipilih sebagai tema sambutan Hari Akademia bagi tahun 2022.
Tema ini dipilih berdasarkan komitmen Kementerian Pengajian Tinggi yang memberi fokus khas kepada jurulatih-jurulatih, guru-guru serta pensyarah-pensyarah pendidikan tinggi yang menjadi ikon, pakar, contoh ikutan dan pencetus perubahan (changemaker) kepada para pelajar.
Tahun ini menandakan tahun keempat Hari Akademia disambut untuk menghargai jasa keiimuan dan pemikiran terkehadapan para pendidik di peringkat pendidikan tinggi yang tidak kenal penat dan lelah serta yang telah bingkas bangun untuk kembali berusaha melonjakkan pendidikan tinggi negara ke tahap global, selepas pandemik global COVID-19 melanda dunia.
Setiap seorang pendidik di institusi pengajian tinggi seakan-akan menjadi ahli magik (magician) yang dapat membuka kotak minda, memacu daya imaginasi serta menerbitkan kesedaran pelajarnya untuk merealisasikan potensi diri dengan sepenuhnya. Inilah kuasa dan pengaruh yang tidak dapat ditandingi, yang hanya ada dalam diri ahli sarjana atau ahli akademia pendidikan tinggi.
Kementerian ingin mengucapkan terima kasih kepada semua warga institusi pendidikan tinggi atas kesungguhan kerja dan sumbangan mereka. Semangat mereka begitu dikagumi dan tidak boleh dinafikan.
Semoga dedikasi mereka terus menyemarakkan semangat dalam pembangunan negara.
Selamat Hari Akademia 2022!
KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI, 5 Oktober 2022
Pihak Pengurusan Tinggi USM yang diketuai Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat, Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor USM, mengucapkan Selamat Hari Akademia buat seluruh ahli akademik USM seramai lebih 2,300 orang.
Semoga mereka semua akan terus berdedikasi dalam melaksanakan tujuh skop tugas utama dan asas iaitu pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, pentadbiran, penyeliaan, perundingan, penerbitan dan perkhidmatan masyarakat di samping memikul tanggungjawab untuk menyumbang terhadap pembinaan negara (nation building) dan menyelesaikan isu masyarakat melalui hubungan yang dijalinkan antara kerajaan, akademia, komuniti dan industri.
Olahan teks: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 547