KETUA PENGARAH KPT HADIR KE USM SEMPENA ‘KPTPANTAU’
USM PULAU PINANG, 19 Oktober 2022 – Satu sesi pemantauan Pasukan KPTPantau yang diterajui oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Dato’ Profesor Dr. Husaini Omar ke kafetaria Desasiswa-Desasiswa di Universiti Sains Malaysia (USM) telah diadakan hari ini.
Tujuan pemantauan adalah untuk melihat pelaksanaan penyediaan Menu Keluarga Malaysia di bawah inisiatif Bakul Makanan Siswa Keluarga Malaysia.
Inisiatif ini telah dilancarkan awal Julai lalu melalui Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa keluarga Malaysia bertujuan memastikan kualiti, kuantiti dan harga makanan yang ditawarkan berpatutan untuk dinikmati oleh pelajar.
Pada sesi pemantauan itu, Ketua Pengarah KPT berpuas hati dengan penyediaan dan kualiti makanan yang disediakan untuk para pelajar di Desasiswa-Desasiswa USM.
Beliau turut berkesempatan beramah mesra dengan pengusaha-pengusaha kedai makanan dan minuman bagi mendapatkan input untuk penambahbaikan inisiatif ini.
Turut serta dalam pemantauan ini ialah Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Ahmad Rizal Adnan; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlinda Azman; dan Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik, Hirman Awang.
Teks: Nurhidayah Shabuddin/Foto: Mohammad Nazer Abdul Hadi @ Jet
- Created on .
- Hits: 538