USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USAINS HOLDINGS SDN. BHD. AGIH RM157,753 BANTU SARA HIDUP ASNAF

BERTAM, PULAU PINANG, 30 Sept. 2022 – Kumpulan USains Holding Sdn. Bhd. hari ini telah mengadakan Majlis Penyerahan Cek Zakat kepada pihak Zakat Pulau Pinang bagi meringankan beban mereka yang memerlukan.

WhatsApp Image 2022 10 25 at 10.19.11 AM

Pemberian sumbangan mock cek disampaikan oleh Pengerusi USains Holding Sdn. Bhd., Datuk Dr. Hafsah Hashim kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Zakat Pulau Pinang, Ustaz Mohd Khairi Ghazali, dengan sumbangan zakat sebanyak RM157,753.

Program zakat perniagaan ini diadakan bertujuan untuk memberi bantuan dan sumbangan kepada golongan asnaf dalam komuniti dan program ini juga diharapkan dapat merapatkan jurang di antara masyarakat setempat.

Zakat Pulau Pinang telah memperkenalkan Wakalah iaitu dasar pengembalian wang zakat oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP) kepada entiti yang membayar zakat kepada Zakat Pulau Pinang untuk diagihkan kepada asnaf yang layak.

Kumpulan Syarikat USains yang merupakan cabang komersil Universiti Sains Malaysia (USM) turut menyumbang kembali wang yang diterima melalui Wakalah ini kepada golongan asnaf dalam kalangan staf dan pelajar USM.

Menurut Hafsah, Kumpulan Syarikat Usains telah mencapai revenue sebanyak RM38 juta pada tahun 2021, iaitu peningkatan sebanyak 17% dari pencapaian tahun 2020, iaitu sebanyak RM31.5.

“Atas rasa syukur yang tidak terhingga dengan kurniaan rezeki ini, Usains berhasrat untuk menyampaikan zakat bagi meringankan beban mereka yang memerlukan, yang mana sumbangan zakat Kumpulan Syarikat Usains dibuat melalui dua anak syarikat milik penuh Usains Holding iaitu USains Tech Services Sdn. Bhd. dan USains Tech Capital Sdn. Bhd.,” kata Hafsah.

Beliau juga berharap agar kerjasama dan kesefahaman yang terjalin di antara pihak Zakat dan USains serta USM akan berkekalan demi kesejahteraan hidup masyarakat generasi hari ini dan masa hadapan.

WhatsApp Image 2022 10 25 at 10.18.59 AM

Hadir sama ke majlis adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM yang juga Non-Independent Non-Executive Director, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Independent Non-Executive Director, Mohd Razlan Mohamed; Pengarah Urusan Kumpulan USains Holding Sdn. Bhd., Farid Wajidi Mat Yusoff; Pengarah Eksekutif Ketua Kumpulan Perubatan USains, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim dan pegawai-pegawai utama universiti.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 420

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024