MoA USM-RAHMAN HYDRAULIC TIN SDN. BHD. TINJAU KERJASAMA PENYELIDIKAN SISTEM RAWATAN AIR LOMBONG
NIBONG TEBAL, 19 Oktober 2022 – Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Rahman Hydraulic Tin Sdn. Bhd. (RHT) yang termeterai baru-baru ini (24 Ogos 2022) di Kampus Kejuruteraan USM bertujuan untuk meninjau kerjasama dalam menjalankan projek penyelidikan dalam industri perlombongan (Sistem Rawatan Air Lombong).
Melalui MoA ini juga, USM dan RHT bersetuju untuk membantu dan menyokong satu sama lain dengan mengambil bahagian secara bersama dalam pemindahan pengetahuan (knowledge transfer) antara ahli akademik serta para profesional dari industri yang berkenaan.
Menurut Dr. Suhaina Ismail selaku Ketua Penyelidik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM) USM, satu projek penyelidikan bagi loji perintis sistem rawatan air pasif bagi merawat efluen dari lombong akan dibangunkan melalui perjanjian ini.
“Kajian ini akan diketuai oleh sekumpulan penyelidik dari program Kejuruteraan Sumber Mineral yang mana dengan adanya program seumpama ini, kerjasama antara industri dan akademik dapat dipertingkatkan,” ulas lanjut beliau.
Selain itu, Suhaina turut berharap agar kolaborasi seperti ini tidak akan terhenti di sini sahaja, bahkan dapat diteruskan lagi pada masa-masa yang akan datang dalam pelbagai pendekatan yang berbeza.
“Semoga dengan penyatuan kepakaran yang dimiliki oleh kedua-dua pihak ini akan menghasilkan penyelidikan yang bertaraf tinggi dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
“Saya juga berharap agar gerak langkah ini akan menjadi pencetus kepada lebih banyak kerjasama antara USM dengan industri lain juga di masa akan datang,” tambahnya.
Dalam sesi penandatanganan MoA tersebut, USM diwakili oleh wakil Dekan PPKBSM, Profesor Madya Dr. Hareyani Zabidi yang merupakan Pengerusi Program Kejuruteraan Sumber Mineral manakala bagi pihak RHT diwakili oleh Pengurus Besar Kanannya, Mazlan Zam.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Ihsan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral
- Created on .
- Hits: 661