USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KOMPLEKS PENYELIDIKAN KLINIKAL KINI DIJENAMAKAN SEBAGAI PUSAT PERUBATAN USM BERTAM (PPUSMB), BAKAL TINGKAT PERKHIDMATAN KESIHATAN

BERTAM, 1 Oktober 2022 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) mencatat satu lagi peristiwa penting bersejarah apabila Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan hadir merasmikan Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) di sini pada 21 September 2022 yang lalu, sekaligus menaik taraf perkhidmatan kesihatan yang diberikan kepada masyarakat setempat.

Selain itu, Naib Canselor turut melancarkan tiga program lain yang berjalan secara serentak di IPPT, iaitu Pelancaran Pusat Sumber Penyakit Buah Pinggang Kronik, Program Clinical Fellowship PPUSMB – IPPT dan Sambutan Program ‘Outreach’ Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS) peringkat IPPT.

“Dalam jangka masa terdekat pada suku pertama tahun 2023 in shaa Allah, PPUSMB akan memulakan operasi sebagai sebuah Hospital 'Berbayar Penuh' dan disasarkan ia dibuka kepada orang awam sepenuhnya pada tahun 2026,” ujar Faisal Rafiq.

Penjenamaan Pusat Perubatan USM Bertam ini telah diluluskan oleh Lembaga Gabenor USM, yang mana sebelum ini ia dikenali sebagai Kompleks Penyelidikan Klinikal yang memberi perkhidmatan kepada pelajar dalam bidang penyelidikan dan rawatan perubatan kepada pesakit.

Selain itu, PPUSMB juga adalah cawangan kepada Hospital USM di Kubang Kerian, Kelantan yang akan beroperasi sebagai Hospital Berbayar Penuh untuk pesakit berbayar atau berinsurans bagi menampung kos operasi rawatan, perubatan serta pergigian yang tidak dapat ditanggung sepenuhnya oleh pihak kerajaan.

“USM sentiasa menitikberatkan kebajikan dan pembangunan sosial dalam penjagaan kesihatan untuk warganya dan komuniti sekitarnya,” kata Faisal Rafiq.

PPUSMB mempunyai kepakaran dan fasiliti termasuk 27 buah katil wad pesakit dalam, unit rawatan rapi (ICU), wad radioiodin, teater pembedahan, endoskopi dan lain-lain di samping fasiliti dan makmal untuk rawatan pergigian.

Kini, tumpuan diberi kepada pesakit berbayar melalui insurans, pesara kerajaan dan pihak-pihak yang mempunyai perjanjian dengan USM seperti PERKESO bagi menampung kos operasi PPUSMB.

Di samping itu, pihak USM kini sedang mengumpul dana melalui tabung amanah hasil sumber dalaman USM, wakaf atau sumbangan oleh syarikat korporat dan agensi-agensi kerajaan, Majlis Agama serta NGO untuk membiayai atau menampung sebahagian kos rawatan pesakit dalam kategori di atas yang menerima rawatan.

Bahagian kemudahan fasiliti rawatan pergigian pula mempunyai 15 bilik rawatan/kerusi pergigian termasuk 1 klinik pelbagai disiplin dan poliklinik pelajar pascasiswazah, 1 unit laser Nd:YAG, 2 unit intra-oral scanner, dan Sistem CAD/CAM yang menyeluruh.

Dalam pada itu, fasiliti pengimejan pergigian juga mempunyai 1 bilik x-ray intra-oral, 1 unit alat cone beam computed tomography (CBCT), 1 unit lateral cephalogram dan 1 unit orthopantomogram (OPG).

Pusat Sumber Penyakit Buah Pinggang Kronik (CKDRC@PPUSMB)

Pusat Sumber Penyakit Buah Pinggang Kronik (CKDRC) merupakan pusat sumber kedua yang ditubuhkan dalam USM selepas CKDRC di Hospital USM Kubang Kerian yang telah beroperasi sejak tahun 2011.

CKDRC di Bertam memulakan perkhidmatannya sejak bulan Jun 2022, dengan matlamat untuk menjadikannya sebagai pusat sehenti (one-stop centre) bagi pencegahan dan perawatan penyakit buah pinggang kronik secara bersepadu dan sistematik.

Selain itu, CKDRC@PPUSMB juga telah menjalinkan kerjasama dengan Pusat Sejahtera USM dan Pusat Kesihatan di Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal dalam memberi rawatan kepada pesakit buah pinggang kronik di Pulau Pinang.

Tambahan pula, perkhidmatan yang ditawarkan oleh CKDRC merangkumi klinik pakar nefrologi, ultrasound vaskular, penilaian berat kering pesakit buah pinggang kronik, pembedahan AVF, kaunseling secara berkumpulan (melibatkan unit dietetik dan farmasi), kursus dan juga aktiviti penyelidikan.

Statistik bilangan pesakit penyakit buah pinggang tahap akhir dianggarkan akan mencecah 106,000 pada tahun 2040, yang mana menunjukkan pesakit yang menghidapi penyakit buah pinggang berada pada tahap membimbangkan dan memerlukan kerjasama pelbagai peringkat dalam membantu pencegahan dan perawatan masalah kesihatan buah pinggang.

Dengan penubuhan CKDRC@PPUSMB ini, diharapkan dapat membantu mempromosi langkah pencegahan penyakit buah pinggang kronik dan juga merawat pesakit dari tahap awal ke tahap akhir secara bersepadu dan sistematik.

Program Clinical Fellowship Pusat Perubatan USM Bertam – IPPT

Faisal Rafiq juga turut merasmikan Program Clinical Fellowship Pusat Perubatan USM Bertam – IPPT, yang mana program ini menawarkan peluang bagi menambah ilmu dan kemahiran klinikal kakitangan kesihatan, terutamanya doktor pakar dalam bidang-bidang tertentu yang lebih spesifik.

Program Clinical Fellowship yang dilancarkan adalah Clinical Brachytherapy and Brachytherapy Physics, yang mana IPPT USM telah menerima akreditasi sebagai Pusat Latihan dan Penyelidikan Antarabangsa BrachyAcademy sejak awal tahun ini.

Program ‘Outreach’ Kementerian Pengajian Tinggi Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS)

Di samping itu, USM hari ini menganjurkan sambutan Program Outreach sebagai kerjasama antara USM dengan Kementerian Pengajian Tinggi Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS), yang merupakan program strategik memperkasa rakyat dan ekonomi (PEMERKASA).

Ini merupakan inisiatif strategi kerajaan bagi melonjakkan kembali ekonomi negara yang terkesan akibat wabak COVID-19.

Menerusi inisiatif ke-16 PEMERKASA ini, RM30 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan untuk Hospital Pengajar Universiti (HPU) bagi menjalankan program outreach berkaitan dengan kesihatan yang dinamakan KRIS.

Di peringkat PPUSMB dan IPPT, KRIS telah bekerjasama dengan pelbagai pihak, antaranya Pusat Perubatan Universiti Malaya, One Hope Charity & Welfare dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk menyediakan akses rawatan kepada penduduk di kawasan Stadium Darulaman Alor Setar, Pantai Merdeka, Penaga, Rantau Panjang, Sungai Bakap dan Tok Kandu.

Program KRIS diselaraskan oleh Hospital USM dan dilaksanakan di negeri Kelantan, Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan Utara Perak.

Antara aktiviti program KRIS adalah pemeriksaan kesihatan, ujian saringan kanser (mamogram), lawatan ke rumah pesakit, ceramah dan pameran kesihatan yang telah memberi manfaat terutamanya kepada golongan B40 yang tinggal di luar bandar bagi meningkatkan akses rakyat kepada kemudahan kesihatan.

Yang hadir sama di majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato' Gs. Dr. Narimah Samat; Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi, Profesor Dr. Md. Roslan Hashim; Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Pengarah Hospital USM, Profesor Dato' Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman; dan Pengarah Institut Perubatan & Pergigian Termaju (IPPT), Profesor Dr. Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin.

 

Teks: Mahirah Mahyidin dan Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 492

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024