USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

4 PELAJAR HARUMKAN NAMA UNIVERSITI; RANGKUL 3 ANUGERAH DALAM PERTANDINGAN DEBAT

3A2DD253 8E39 44DB 9154 5E83F8F668C7

USM PULAU PINANG, 16 Oktober 2022 – Empat pelajar dari Pasukan Debat Bahasa Melayu, Kelab Debat dan Pengucapan Awam Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini mencapai kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Naib Johan Debat Atas Talian, iaitu Debat Kemahiran Negara (DKN) Antara Institut Pengajian Tinggi Peringkat Kebangsaan 2022, bersempena dengan Karnival Masuk Institut Latihan Kemahiran ‘Jom Pilih Kemahiran 2022’.

Debat ‘Technical and Vocational Training (TVET)’ yang bertemakan ‘Kemahiran ke Arah Masa Hadapan Mapan’ itu merupakan anjuran Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia dan Skills Malaysia 2.0 dan telah berlangsung selama 5 hari bermula pada 26 September hingga 30 September 2022 yang lalu melalui aplikasi siaran langsung Streamyard.

Mereka yang menyertai pertandingan tersebut adalah:

  1. Abdullah Nudin (Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan)
  2. Muhammad Asri Zainuddin (Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal)
  3. Ehswarakali Sadasivam (Pusat Pengajian Sains Kaji Hayat)
  4. Mohamad Firdaus Kasah Hamid@Kasmidy (Pusat Pengajian Sains Komputer)

Dalam pusingan akhir, USM dipertemukan dengan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dengan usul ‘Aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) TVET adalah Jawapannya’, dan selain menjadi Naib Johan bagi keseluruhan pertandingan, pasukan USM juga telah menjadi Juara Liga Pusingan Awal.

Menurut Abdullah Nudin yang merupakan ketua pasukan USM, kemenangan yang dikecapi adalah amat bermakna bagi Pasukan Debat Bahasa Melayu setelah menempuh beberapa siri pertandingan debat sebelum ini.

“Saya berharap agar kejayaan ini dapat menjadi inspirasi buat mahasiswa HEBAT USM yang lain untuk menyertai bidang perdebatan varsiti dalam usaha kita melestarikan debat di USM,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Asri yang mendapat Anugerah Pendebat Terbaik Liga DKN 2022 berkata, dia berasa bersyukur atas kemenangan anugerah ini dan berharap agar konsistensi sebegini boleh dikekalkan pada masa akan datang.

Pasukan USM juga berjaya dinobatkan sebagai Anugerah Pasukan Paling Hangat berdasarkan hasil undian, ‘likes’ dan ‘comment’ pada logo pasukan USM di aplikasi Instagram rasmi DKN 2022.

Sidang pertandingan debat itu juga boleh ditonton melalui Youtube rasmi DKN 2022.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Poster: Mohamad Zaidi Jaini

  • Created on .
  • Hits: 810

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024