AOFS 2022: PLATFORM TERBAIK BINCANG ISU SEKSUALITI SEMUA PERINGKAT UMUR
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 Oktober 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) buat julung kalinya dipilih menjadi tuan rumah bagi Persidangan ‘The 16th Congress of Asia-Oceania Federation for Sexology 2022 (AOFS)’ dengan menghimpunkan lebih 250 orang peserta dari dalam dan luar negara yang menyertainya secara bersemuka mahupun secara maya.
Persidangan yang membawakan penceramah-penceramah tersohor dari seluruh dunia termasuk dari Australia, India, Jepun, Indonesia dan lain-lain itu turut diisi dengan penyampaian ucaptama oleh Presiden ‘World Association for Sexual Health’ dari Afrika Selatan, Dr. Elna Rudolph.
Berucap di majlis perasmian persidangan tersebut, Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM yang mewakili Naib Canselor USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin berkata, persidangan ini merupakan platform terbaik untuk membincangkan isu seksualiti dalam semua peringkat umur termasuk golongan muda iaitu kanak-kanak hingga ke warga emas, lelaki, wanita dan kelainan gender sama ada mereka mempunyai penyakit kronik, kanser dan penyakit berjangkit.
“Pelbagai pendekatan perawatan akan digandingkan bagi mengambil kira konteks budaya setempat dan hal keagamaan atau spiritualiti dalam perawatan komprehensif.
“Kajian dan perawatan yang berasaskan komplimentari juga akan dikongsikan oleh para pembentang. Isu-isu lain termasuklah LGBTQ, perkahwinan bawah umur dan penderaan juga akan diketengahkan,” katanya.
Shaharum percaya persidangan ini merupakan medium bersesuaian untuk mengetengahkan dua daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Antara isu yang akan dibincangkan ialah SDG 3 iaitu memastikan kehidupan yang sihat dan menggalakkan kesejahteraan pada semua peringkat umur dan SDG 5 iaitu kesaksamaan gender.
“Bersesuaian dengan tema ‘Promoting Sexual Wellbeing: Conversations on Different Perspectives’, persidangan ini juga diharap menjadi ruang untuk bertukar pandangan, berkongsi pengetahuan akademik, kemahiran dan perawatan terkini sekalipun mempunyai pelbagai pengaruh budaya dan sosial di dalam bidang seksologi dan Perubatan Seksual.
“Semoga semua yang baik dapat dipraktikkan untuk kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” jelasnya lagi.
Sementara itu, menurut Pengarah Persidangan AOFS 2022 yang juga Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), USM, Profesor Madya Dr. Rosediani Muhamad, persidangan ini akan turut membincangkan masalah mati putik atau nama saintifiknya disfungsi seksual wanita.
“Berdasarkan kajian, dianggarkan 20 hingga 30 peratus wanita di Malaysia berisiko mengalami masalah mati putik yang kebiasaannya merasakan seks tidak lagi menjadi keutamaan (hilang nikmat perkahwinan) di dalam kehidupan ekoran tiada keinginan bersama, tidak terangsang apabila bersama suami, mengalami rasa sakit ketika bersama, sukar mencapai klimaks dan sebagainya.
“Terdapat tiga punca utama masalah ini berlaku iaitu masalah dalam diri sendiri seperti kesibukan kerja, stres berpanjangan, proses kehidupan yang meletihkan seperti proses mengandung, melahirkan, menyusukan, membesarkan anak, mengambil pil perancang, mempunyai penyakit kronik seperti kanser dan banyak lagi,” katanya.
Rosediani berkata, faktor persekitaran dan didikan keluarga juga antara punca masalah mati putik berlaku.
“Kefahaman tentang seksualiti yang cetek serta kurangnya komunikasi, toleransi, kefahaman tentang seks atau hubungan intim juga menyebabkan hubungan suami isteri menjadi semakin renggang.
“Masalah mati putik juga mampu dirawat dan dicegah dari awal sebelum ianya memudaratkan diri dan pasangan masing-masing,” katanya lagi.
Persidangan AOFS 2022 berlangsung selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Ogos 2022 di Dewan Kuliah C, Kampus Kesihatan USM.
Turut hadir dalam perasmian tersebut, Presiden ‘Asia Oceania Federation for Sexology’, Dr. Narayana Reddy; Presiden 'World Association for Sexual Health', Dr. Elna Rudolph dan Dekan PPSP, USM, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Amyrulhan Azhari & Dr. Nur Suhaila Idris
- Created on .
- Hits: 410