USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERKASA AGENDA KEUSAHAWANAN UNIVERSITI; USM TERIMA DANA RM100,000

GEORGETOWN, 5 Ogos 2022 – Agenda keusahawanan Universiti Sains Malaysia (USM) terus diperkasa apabila mendapat suntikan dana sebanyak RM100,000 daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Kempen Keusahawanan Satu Budaya, hasil inisiatif Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan.

038A03B4 478A 47F4 986D EA6E7474A3AA

Kempen yang dirasmikan oleh Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, YB Dato’ Haji Abdul Halim Hussain ini akan berlangsung selama satu tahun bermula pada 1 Ogos 2022 sehingga 30 Jun 2023 dan dicadangkan perlanjutannya sehingga tahun 2030.

Menurut Abdul Halim, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri usahawan dan negeri berpendapatan tinggi sejajar dengan visi Penang2030 yang menfokuskan kepada institusi keluarga melalui usaha menaik taraf ekonomi bagi meningkatkan pertumbuhan dan pendapatan isi rumah rakyat Pulau Pinang.

Katanya, tema ‘Keusahawanan Satu Budaya’ dipilih bagi menyemai ciri-ciri budaya keusahawanan sebagai aktiviti lazim dalam kehidupan harian rakyat negeri ini.

“Fokus kempen ialah kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang merupakan tulang belakang pertumbuhan ekonomi negara,” ujar Abdul Halim dalam ucapannya di majlis pra-pelancaran kempen berkenaan di sebuah hotel terkemuka di sini pada 1 Ogos yang lalu.

Abdul Halim dalam ucapannya turut mengumumkan pemberian dana sebanyak RM100,000 kepada Universiti Sains Malaysia (USM) yang akan digunakan untuk gerak kerja aktiviti pemerkasaan agenda keusahawanan universiti.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan pula berkata, USM sedang merancang untuk meningkatkan lagi mobiliti pengambilan pelajar supaya lebih ramai lagi bakat usahawan muda dapat dicungkil melalui USM.

“USM menyediakan pelbagai platform untuk pelajar bergiat aktif di universiti dan saya percaya kempen yang dilancarkan hari ini seiring dengan matlamat USM untuk agenda pembangunan pelajar,” ujar beliau lagi.

Turut hadir adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; ADUN Kebun Bunga, Jason Ong Khan Lee; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlinda Azman; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Dato’ Aziz Bakar; Pengarah Pusat Pembangunan Hebat (HDC) USM, Hazlan Abdul Hamid dan Ketua Sektor Keusahawanan HDC USM, Puteri Salamah Abdul Aziz.

Teks: Nurhidayah Shabuddin

  • Created on .
  • Hits: 351

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024