USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-CEDEC METERAI MOU, JALIN KERJASAMA LEBIH ERAT BANGUNKAN INDUSTRI SEMIKONDUKTOR

IMG 0025

USM PULAU PINANG, 27 Sept. 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC) hari ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Negeri Pulau Pinang.

Selari dengan pembangunan industri semikonduktor di Malaysia, CEDEC mengorak langkah melebarkan jaringan kerjasama bersama universiti tempatan dalam bidang reka bentuk litar bersepadu dan sensor teknologi bagi meningkatkan aktiviti penyelidikan dan penghasilan bakat mengikut keperluan industri semikonduktor.

MoU yang termeterai pada hari ini akan mewujudkan peluang baru kepada kedua-dua pihak bagi meningkatkan kepakaran kakitangan yang seterusnya akan disebarkan kepada pelajar di samping dapat mewujudkan dan melebarkan jaringan kerjasama antara universiti.

Majlis penandatanganan MoU itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed mewakili Naib Canselor USM bersama Profesor Madya Ir. Dr. Ahmad Rashidy Razali, disertai Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan Jaringan Industri Masyarakat dan Alumni, UiTM Pulau Pinang, Profesor Madya Ts. Dr. Kay Dora Abd Ghani dan Pengarah CEDEC USM, Profesor Madya Dr. Asrulnizam Abd Manaf.

Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, melalui kerjasama ini, dijangkakan akan menjadi pemangkin kepada kerjasama di antara tenaga pengajar dalam penyelidikan, perkongsian fasiliti serta peluang penyeliaan bersama dan geran penyelidikan bersama.

“Saya berharap agar jaringan bersama UiTM ini dapat menambahkan jumlah bakat di dalam industri semikonduktor dan semoga kerjasama ini dapat dikembangkan kepada universiti-universiti yang lain dan pihak industri dalam menyokong industri semikonduktor di Malaysia,” kata Abdul Rahman.

Sementara itu, Ahmad Rashidy berkata UiTM Cawangan Pulau Pinang dan CEDEC USM akan meneruskan kerjasama penyeliaan pasca siswazah dan penyelidikan bersama dalam pelbagai bidang seperti mikrofluidik, mikroelektronik, sensing dan lain-lain.

“Kedua-dua belah pihak juga merancang untuk menjalankan lebih banyak kerjasama seperti latihan industri pelajar, geran penyelidikan bersama, pertukaran staf dan sebagainya,” kata Ahmad Rashidy.

Tambah beliau, kerjasama ini juga merupakan satu langkah yang penting dalam usaha untuk terus maju seiring dengan visi dan misi kedua-dua pihak, iaitu UiTM dan juga USM.

Turut hadir ke majlis adalah Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UiTM Cawangan Pulau Pinang, Profesor Madya Ts. Dr. Basharudin Abdul Hadi; Ketua Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik, UiTM Cawangan Pulau Pinang, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Zainal Hisham Che Soh; serta pegawai-pegawai utama universiti UiTM dan USM.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 419

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024