USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-PENANG PORT METERAI MOU LEBARKAN JARINGAN KERJASAMA R&D

IMG 0584

USM PULAU PINANG, 26 Sept. 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) hari ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Penang Port Sdn. Bhd.

Usahasama ini akan membolehkan Penang Port melebarkan lagi jaringan kerjasama dalam melaksanakan program Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) bersama USM.

Objektif utama MoU ini adalah untuk menjalinkan kerjasama pintar dan strategik (‘smart and strategic collaboration’) yang mampu memacu ke arah menjadikan Penang Port sebagai salah satu peneraju utama dalam Industri Pelabuhan dan Logistik, selain melaksanakan penggunaan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) dan teknologi Tenaga Boleh Diperbaharui (renewable energy) yang berstatus Pelabuhan Pintar dan Hijau.

Majlis Penandatanganan MoU itu disempurnakan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port Sdn. Bhd., Dato’ Sasedharan Vasudevan, disertai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan Ketua Projek Khas SPALTech Penang Port Sdn. Bhd., Jafrul Fazli Jaafar, serta disaksikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Datuk Tan Teik Cheng bersama Pengarah BJIM, Dr. Shaizatulaqma Kamalul Ariffin.

Kolaborasi ini berfokus kepada:

  • Pertukaran staf untuk industrial attachment;
  • Program latihan;
  • Kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D);
  • Program akademik dan pensijilan.

Menurut Faisal Rafiq dalam ucapannya berkata, USM amat mengalukan-alukan kolaborasi dengan Penang Port Sdn. Bhd. dan berharap agar dapat memperluaskan kepakaran staf USM melalui kerjasama pintar dan saintifik dalam memantapkan lagi aspek penyelidikan dan pembangunan akademik.

“Pemeteraian MoU pada hari ini melambangkan perkongsian yang dipercayai akan meningkatkan lagi kerjasama universiti-industri di kedua-dua pihak dan saya berharap agar semua inisiatif bersama dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

Sementara itu, Sasedharan berkata, usaha ini merupakan satu peluang yang terbaik untuk membangunkan Penang Port-Smart Port and Advanced Logistic Technology Center of Excellence (Penang Port-SPALTech CoE) yang bakal menjadi hab rujukan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan latihan untuk industri pelabuhan dan logistik pada peringkat nasional mahupun di peringkat antarabangsa.

“Saya berharap agar MoU ini akan menjadi titik permulaan di antara Penang Port dan USM dalam memacu petumbuhan ekonomi negara melalui pembangunan teknologi Revolusi Industri 4.0 dan Teknologi Tenaga Boleh Diperbaharui,” kata Sasedharan.

Hadir sama ke majlis adalah Dekan-dekan Pusat Pengajian USM dan Pengarah-pengarah Pusat Kecemerlangan USM; delegasi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan delegasi Penang Port Sdn. Bhd.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 498

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024