USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MAJLIS SAMBUTAN SISWA 2022: KELAINAN UPAYA BUKAN PENGHALANG UNTUK MENCAPAI CITA-CITA

IMG 0051

USM PULAU PINANG, 12 Oktober 2022 – Setelah hampir dua tahun dunia berperang dengan wabak COVID-19, Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah mengadakan kembali Majlis Sambutan Pelajar Siswa Lestari secara bersemuka bagi Sidang Akademik 2022/2023 di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM.

Seramai 4,283 pelajar baharu pada sidang kali ini menghidupkan kembali suasana majlis yang tertunda selama dua tahun dan memanfaatkan kesempatan dengan pelbagai aktiviti termasuk bacaan ikrar dan penandatanganan akujanji sebagai pelajar USM berdaftar.

Selain itu, para pelajar turut menggamatkan dewan apabila melakukan formasi alunan ombak dengan kibaran Jalur Gemilang serta tarian dan nyanyian dari kumpulan Adikarma USM. Turut mencuri tumpuan adalah sorakan USM yang dibimbing oleh Pembimbing Pelajar Siswa Lestari (PPSL) USM.

Pada majlis yang sama, USM turut meraikan dua ahli keluarga baharu, walaupun kedua-duanya Orang Kelainan Upaya (OKU) tetapi mereka bersemangat untuk meneruskan pembelajaran di USM.

G. Ryenaath, 21, yang mempunyai masalah cacat penglihatan akibat glaukoma sejak berusia 15 tahun berkata, walaupun tidak dapat melihat suasana baharu di universiti, itu tidak menjadi penghalang untuknya meneruskan fokus utamanya untuk mencapai cita-citanya menjadi seorang pensyarah.

Menurut penuntut jurusan Bahasa Inggeris dan Kesusasteraan itu, kurang seminggu berada di kampus, ibunya menelefonnya tanpa henti kerana bimbang dia tidak dapat sesuaikan diri dan sering berpesan supaya mencari kawan baru.

“Saya sudah biasa menguruskan diri sendiri kerana sudah pernah tinggal di asrama ketika belajar di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur dan sebelum membuat permohonan kemasukan ke universiti, saya mendapat pelbagai cadangan daripada rakan mengenai universiti yang mesra OKU, dan USM adalah salah satu daripadanya,” katanya.

Tambah Reynaath, dia sangat bersyukur kerana ditempatkan di kediaman Desasiswa Aman Damai yang mempunyai kemudahan mesra OKU.

Sementara itu, penuntut Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Norfatihah Abdul Rahim, 20, yang dilahirkan tanpa tangan kanan serta cacat tangan kiri sejak lahir mengakui agak sukar untuk menguruskan diri pada minggu pertama di kampus.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, sebelum ini dia pernah terfikir akan kehidupannya di kampus dan hendak menguruskan diri sendiri di asrama kerana tidak pernah berenggang dengan keluarga.

“Untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu, memang akan memerlukan masa dan ibu juga kerap menghubungi saya dan bertanyakan keadaan saya, dan cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang guru,” ujarnya.

Turut hadir meraikan pelajar-pelajar baharu adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang turut Menjalankan Fungsi Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Azlinda Azman; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Timbalan Naib Canselor (Kelestarian dan Pembangunan Institusi), Profesor Dr. Md Roslan Hashim dan barisan pegawai utama universiti.

Pada majlis itu juga, turut diselitkan sesi penyampaian amanat kepada para pelajar baharu oleh Narimah, yang mana beliau memperkenalkan program yang dibangunkan khas oleh USM dengan lebih terperinci.

Narimah juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada para siswa dan siswi dan berharap agar para pelajar sentiasa cekal (resilient) dan kental (persistent) menghadapi pengajian.

Beliau juga berpesan agar para pelajar menjadikan pengalaman di kampus sebagai sesuatu yang akan diingati sepanjang kehidupan.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 571

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024