SESI BERSAMA PEMIMPIN NEGARA: KETUA POLIS NEGERI KONGSI PENGALAMAN DENGAN PELAJAR BAHARU USM
USM PULAU PINANG, 13 Oktober 2022 – Lebih 2,000 pelajar baharu Kampus Induk Universiti Sains Malaysia (USM) memanfaatkan sesi perkongsian ilmu dan pengalaman bersama Ketua Polis Pulau Pinang, CP Dato' Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam Sesi Bersama Pemimpin Negara di Dewan Tuanku Syed Putra, USM baru-baru ini.
Program khas itu diadakan bersempena dengan Program Siswa Lestari Sidang Akademik 2022/2023 untuk pelajar baharu USM.
Antara perkara yang disentuh oleh Mohd Shuhaily dalam taklimat berkenaan adalah Dasar Keselamatan Negara, Peranan Mahasiswa Dalam Menangani Ancaman Negara dan Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS).
Beliau turut berkongsi suka-duka dan pahit manis pengalaman beliau sepanjang bertugas untuk dijadikan panduan kepada pelajar yang hadir selain turut mengingatkan pelajar supaya sentiasa bertanggungjawab dan membuat perancangan teliti dalam hidup untuk kepentingan masa depan mereka.
Turut hadir ke program itu ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor USM, Profesor Dato' Gs. Dr. Narimah Samat; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi merangkap Komandan Kor SUKSIS USM, Asisten Komisioner Polis Kor SUKSIS Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlinda Azman; pegawai-pegawai utama USM, pegawai-pegawai kanan Polis Diraja Malaysia dan pegawai-pegawai Kehormat Kor SUKSIS.
Teks: Nurhidayah Shabuddin/Foto: Mohd Fairus Md.Isa
- Created on .
- Hits: 618