USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PANEL KHAS TELITI ADUAN PROGRAM SARJANA PEMBEDAHAN (NEUROSURGERY) SAHKAN ADUAN YANG DIBUAT TIDAK BERASAS

WhatsApp Image 2022 10 11 at 11.07.18 AM

USM PULAU PINANG, 6 Oktober 2022 – Panel Khas yang meneliti aduan tentang berlakunya salah laku dalam penawaran dan peperiksaan program Sarjana Pembedahan (Neurosurgery) yang dipengerusikan oleh Professor Emeritus Dato' Dr. Raymond Azman Ali dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) mendapati tuduhan yang dibuat adalah tidak berasas sama sekali.

Panel Khas yang ditubuhkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) pada bulan Julai 2022 lalu itu turut dianggotai oleh 5 orang yang terdiri daripada wakil pakar perubatan pelbagai disiplin yang mewakili universiti awam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Perubatan Malaysia (MMC), Academy of Medicine Malaysia dan pihak swasta ekoran terbitnya aduan yang dibuat di akhbar dalam talian pada 31 Mei 2022 dan aduan dalam talian e-Aduan di Pusat Pengajian Sains Perubatan USM yang membuat tuduhan ketidakadilan dan ketidaktelusan berlaku dalam proses penawaran dan peperiksaan program tersebut.

Panel Khas ini membuat siasatan menyeluruh dari pelbagai aspek berdasarkan aduan tersebut yang berkaitan keseluruhan penawaran program, proses peperiksaan, staf akademik yang terlibat, mencari saksi-saksi yang boleh memberi keterangan dan menilai apa jua perkara yang berkaitan dengan isu ini.

Panel Khas ini memulakan proses inkuiri pada Ogos 2022 yang menyenaraikan dokumen-dokumen yang perlu diberi untuk diteliti, diikuti dengan lawatan ke Pusat Pengajian Sains Perubatan pada September 2022 untuk melihat segala dokumen dan mengadakan perjumpaan dengan pihak pengurusan, seperti Dekan, Pengerusi Rancangan, pelajar dan alumni.

Ahli-ahli Panel Khas ini juga melawat pejabat Institut Pengajian Siswazah dan Bilik Kebal Peperiksaan. Panel ini turut diberikan taklimat tentang prosedur operasi oleh pegawai yang mengendalikan proses peperiksaan secara terperinci.

Program Sarjana Pembedahan (Neurosurgery) mula diperkenalkan di Pusat Pengajian Sains Perubatan pada tahun 2001. Pada masa ini, hanya USM yang menawarkan program ini yang dijangka diikuti oleh Universiti Malaya pada Disember 2022 dan mengadakan Lembaga Bersama untuk program Neurosurgeri. Program ini mengambil masa 4 tahun pengajian.

Sehingga kini, seramai 109 orang telah berjaya menamatkan pengajian Sarjana Pembedahan (Neurosurgery) di USM. 55% daripada pakar bedah neuro di Malaysia adalah dikeluarkan oleh USM.

Hanya seorang calon yang gagal dalam pengajian pada tahun 2018 manakala 3 orang menarik diri masing-masing seorang pada tahun pertama pada 2002, 2004 dan 2019 disebabkan oleh masalah peribadi.

Panel Khas ini mendapati pengajian Sarjana Pembedahan (Neurosurgery) ini adalah program latihan pascasiswazah pembedahan yang mantap, skop dan kandungannya memenuhi piawaian profesional, dilaksanakan dengan betul sama ada dari segi program mahupun dalam pengendalian dan kerahsiaan kertas peperiksaan dan kes klinikal.

Panel Khas ini juga mendapati terdapat bilangan kakitangan akademik yang berkelayakan dan jurulatih profesional yang mencukupi dalam mengendalikan program ini dan mereka disokong dengan baik oleh kakitangan sokongan.

Kemudahan klinikal dan latihan praktikal yang menyokong program ini adalah lebih daripada mencukupi, sama ada dari segi kuantiti dan kualiti manakala sistem penilaian adalah baik; jelasnya, pelajar yang baik lulus dan pelajar yang lemah, gagal dalam peperiksaan.

Oleh itu, Panel Khas ini membuat kesimpulan bahawa tuduhan yang dibuat terhadap program Sarjana Pembedahan (Neurosurgery) di USM adalah tidak berasas sama sekali.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 549

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024