USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TIDAK PERNAH BERPISAH; KEMBAR 3 TERUJA IKUTI PENGAJIAN BERSAMA DI USM

IMG 0307k

USM PULAU PINANG, 8 Oktober 2022 – Seramai 4,283 calon dari lepasan STPM/ Matrikulasi/ Asasi/ Diploma/ Setaraf telah menerima tawaran bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda (Penuh Masa) dan Diploma di Universiti Sains Malaysia (USM) di ketiga-tiga kampusnya bagi memulakan Sidang Akademik 2022/2023.

Menariknya pada sidang akademik kali ini, tiga beradik kembar lelaki, menerima tawaran menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan di Kampus Induk USM dan mereka ialah Mohamed Azmin Dawlath Mohamed, 22, yang merupakan abang sulung bersama Mohamed Azwan Dawlath Mohamed dan Mohamed Azrul Dawlath Mohamed.

IMG 0237

Ketiga-tiga beradik itu ketika ditemui berkata, mereka tidak pernah berpisah sejak dari sekolah kebangsaan sehinggalah pengajian di peringkat universiti dan mereka telah lama mempunyai matlamat yang serupa untuk bersama-sama menyambung pengajian di USM.

IMG 0265

Menurut Mohamed Azmin, ketiga-tiga mereka belajar di Sekolah Kebangsaan Seri Permai, peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Tun Uda dalam aliran Sains, dan kemudiannya menyambung pelajaran di peringkat diploma di Politeknik Seberang Perai juga dalam bidang yang sama, iaitu bidang perakaunan dan turut mendapat anugerah dekan ketika mengikuti pengajian di Politeknik.

“Kami tidak pernah berpisah dan berasa bersyukur kami diterima untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di USM kerana semua perkara yang kami lakukan adalah bersama-sama, yang mana salah satunya ketika belajar di peringkat diploma segala tugasan yang diberikan oleh pensyarah kami belajar dan selesaikan sama-sama,” kata Mohamed Azmin.

IMG 0212

Bukan itu sahaja, ketiga-tiga beradik ini juga mempunyai minat yang sama iaitu dalam bidang Pendidikan dan cita-cita mereka juga hampir sama iaitu cita-cita untuk menjadi guru dan pensyarah.

Turut hadir meraikan pelajar-pelajar baharu adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang turut menjalankan fungsi Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Azlinda Azman dan Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Pengurusan Akademik, Ramli Osman.

Dalam pada itu, Narimah berkata, USM sentiasa berusaha untuk memastikan kelestarian pendidikan dan sentiasa mempertimbangkan perkara yang terbaik dalam memastikan semua pelajar menerima kualiti pengajaran yang terbaik dari USM di samping meletakkan keselamatan dan kebajikan pelajar sebagai keutamaan.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md.Isa

  • Created on .
  • Hits: 482

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024