USM DAN UUM BERSAMA-SAMA MEMACU KECEMERLANGAN PENDIDIKAN TINGGI NEGARA
Tanggal 25 Ogos 2022 adalah hari yang cukup bersejarah buat Universiti Sains Malaysia (USM) apabila USM menerima kunjungan balas rasmi dari Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi lawatan kerja USM ke UUM pada bulan Mei lalu.
Kunjungan balas UUM itu diketuai oleh Naib Canselornya, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah.
Lawatan tersebut bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah serta mengukuhkan jaringan kolaborasi bagi kedua-dua Universiti dengan harapan agar USM dan UUM akan bersama-sama 'co-learn' dan seterusnya 'co-create' bagi memacu kecemerlangan institusi dan pendidikan tinggi negara.
Ketibaan delegasi UUM seramai 68 orang itu disambut oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan bersama Timbalan-timbalan Naib Canselor, ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti serta ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai utama Universiti.
Dalam sesi tersebut, Faisal Rafiq berkongsi beberapa perkara yang signifikan termasuk inisiatif yang diambil USM dalam memacu kecemerlangan universiti.
“USM amat gembira dapat berkongsi visi, misi dan strategi USM bersama UUM dalam usaha untuk memantapkan pengajian tinggi negara dengan meletakkan sasaran dan usaha untuk mencapai kelancaran pentadbiran, akademik dan penyelidikan dalam sesebuah universiti,” kata beliau.
Faisal Rafiq turut memperkenalkan beberapa inisiatif yang dijalankan oleh USM seperti program LIFE, PITCH dan Startup-Spinoff (SUSO), yang mana melibatkan pelajar dan staf USM.
Ini diikuti oleh Haim Hilman, yang membentangkan bagaimana lawatan rasmi ini dapat membina kerjasama antara kedua-dua institusi, dan UUM akan berusaha untuk mengikut langkah USM, khususnya dalam bidang kebolehpasaran graduan dan kelancaran operasi USM.
“Saya berharap agar lawatan kali ini selain mengeratkan fakulti UUM bersama pusat pengajian USM, dapat juga menggerakkan usaha supaya boleh bekerjasama dengan pusat-pusat kecemerlangan USM yang berkaitan dalam konteks UUM,” kata beliau.
Pada sesi yang sama, keempat-empat Timbalan-timbalan Naib Canselor USM membentangkan portfolio masing-masing dengan menerangkan aspirasi dan hala tuju universiti kepada delegasi UUM.
Dalam sesi itu juga, Pendaftar USM, Dato’ Dr. Musa Ali berkongsi tentang aplikasi sistem pentadbiran di USM, yang mana sistem yang digunakan adalah untuk memantapkan pentadbiran universiti.
Sesi tersebut seterusnya diselitkan juga dengan pembentangan oleh Bendahari USM, Haji Kamarul Ariffin Ngah yang berkongsi tentang fokus dan sasaran pentadbiran, kelancaran perbelanjaan kewangan serta pembangunan sistem jabatan bendahari dan inovasi seksyen perolehan USM.
Turut membuat pembentangan, Pengarah Pembangunan Korporat Strategik, Haji Muhammad Sabri Said yang berkongsi mengenai pelan pembangunan strategik, pemasaran dan pembangunan, serta projek semasa dan akan dating, yang mana antaranya ialah projek pemasangan sistem panel solar.
Sesi berkongsi aspirasi berlangsung di Dewan Persidangan Universiti (DPU) pada sebelah pagi dan kemudiannya beralih lokasi ke Kompleks Cahaya Siswa (Komca) pada sebelah petang.
Delegasi UUM turut dibawa melawat beberapa fasiliti ikonik kampus induk USM, antaranya Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), The Nest, Minden 11800, Projek madu kelulut Living Lab@Eco Hub, Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah, Desasiswa Fajar Harapan, Studio Sarjana Seni Bina Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan & Perancangan, The Bricks dan Padang KOPA sebelum meninggalkan kampus setelah berakhirnya sesi lawatan pada sebelah petang.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Jurufoto MPRC
- Created on .
- Hits: 610