USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TNC HEPA SEMPURNAKAN MAJLIS PECAH TANAH PUSAT KOMUNITI IPPT

293732721 5411249785602677 8394238882247973896 n

Pusat Komuniti IPPT ini menawarkan pelbagai kemudahan demi kebajikan pesakit dan waris kepada pesakit yang mendapat rawatan di IPPT.

BERTAM, 22 Sept. 2022 – Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Azlinda Azman telah menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pusat Komuniti Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM di sini pada 22 Julai yang lalu.

Turut hadir sama Pengarah IPPT, Profesor Dr. Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin; Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Jaringan IPPT, Profesor Madya Dr. Hasni Arsad; Pengarah Pusat Islam USM, Tuan Haji Mohammad Shukri Osman; dan Ustaz Mohd Mohsin Sirun dari Unit Hal Ehwal Islam IPPT.

293770128 5411249698936019 5059958490979340546 n

Antara tujuan utama majlis tersebut diadakan adalah untuk mewar-warkan perkembangan perkhidmatan kesihatan dan pergigian yang ditawarkan oleh IPPT, dan menjadi harapan IPPT agar Pusat Komuniti IPPT itu dapat menawarkan kemudahan demi manfaat dan kebajikan pesakit dan waris kepada pesakit, selain kepada seluruh warga IPPT tanpa mengira agama dan bangsa.

“Dengan adanya Pusat Komuniti IPPT yang menyediakan kemudahan seperti surau, tadika, bilik tetamu dan bilik pengurusan jenazah, saya yakin dan in shaa Allah kita dapat manfaatkan lebih banyak lagi aktiviti bersama komuniti, mahasiswa dan staf IPPT,” ujar Azlinda.

Difahamkan, projek yang mendapat kelulusan pihak tertinggi universiti ini menelan belanja hampir RM5.6 juta dan merupakan usaha pendekatan melalui dana wakaf sumbangan orang ramai.

294171107 5411249818936007 2983211452625037820 n

Tambah Azlinda, “Saya bagi pihak Universiti mengambil kesempatan ini untuk memohon para hadirin sekalian untuk sama-sama membantu menjayakan hasrat murni ini dengan menghulurkan sumbangan wakaf, infaq dan sebagainya.”

Majlis tersebut diserikan lagi dengan gimik acara simbolik menggunakan ‘backhoe’ yang disempurnakan oleh Azlinda sendiri dan disaksikan oleh seluruh warga IPPT dan komuniti sekitar Bertam yang hadir bagi memeriahkan lagi majlis ini.

“Agenda IPPT akan sentiasa menyokong dan mendokong visi dan misi USM bagi memastikan kelestarian dan kebajikan warga staf dan masyarakat setempat mendapat manfaat dengan kewujudan IPPT di Bertam ini,” kata Pengarah IPPT.

IPPT juga merupakan satu-satunya pusat rujukan kanser Malaysia yang menyediakan perkhidmatan kepakaran, peralatan yang canggih dan rawatan komprehensif merangkumi kemoterapi, radioterapi dan brakiterapi.

Melalui Projek Wakaf Pengajian Tinggi USM menerusi Sektor Wakaf Pusat Islam USM dan Wakaf Pulau Pinang, penyumbang layak mendapatkan pengecualian cukai LHDN dengan resit yang dikeluarkan oleh Wakaf Pulau Pinang.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Jawatankuasa Project Waqaf Surau Pusat Komuniti (0704 3011 0633 17) Bank Islam.

Sebarang rujukan dan pertanyaan, boleh terus menghubungi Ustaz Mohd Mohsin di talian 019-431 9447.

Teks: Mahirah Mahyidin/Foto: Norizan Ishak

  • Created on .
  • Hits: 321

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024