SoLLaT USM BANTU PELAJAR SEKOLAH TINGKATKAN KEMAHIRAN MEMBACA DAN MENULIS BAHASA MELAYU
KULIM, KEDAH, 21 Sept. 2022 – Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (SoLLaT), Universiti Sains Malaysia (USM), pada 31 Julai 2022 yang lalu, telah menganjurkan program khidmat masyarakat iaitu Program Pemantapan Bahasa Melayu bersama 79 orang pelajar Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 Sekolah Menengah Kebangsaan St. Patrick di Kulim, Kedah.
Program tersebut dikendalikan oleh 3 orang guru bahasa iaitu Wan Azni Wan Mohamad, Azlina Md Sadik dan Nur Faraliana Mohd Yusoff, serta dibantu oleh 17 orang pelajar USM dan diadakan setiap dua minggu sekali, iaitu pada hari Ahad bermula sejak bulan Jun lalu dan dijangka berakhir pada bulan Oktober ini.
Penyelaras Program, Nur Faraliana Mohd Yusoff ketika ditemui berkata, tujuan para pelajar USM melibatkan diri sebagai fasilitator dalam program ini adalah untuk menarik minat pelajar sekolah hadir ke program ini, selain faktor jurang umur yang tidak terlalu jauh memudahkan interaksi antara pelajar dan fasilitator dalam setiap aktiviti yang dilakukan.
Tambah Nur Faraliana lagi, fokus utama program ini adalah untuk membantu pelajar yang bermasalah meningkatkan kemahiran membaca dan menulis dalam matapelajaran Bahasa Melayu.
Sementara itu, salah seorang fasilitator USM, Ahmad Ikmal Hakimi yang sedang menuntut di Tahun 1, Pusat Pengajian Sains Kajihayat berkata, “Matlamat utama program ini adalah untuk memantapkan lagi penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar kerana sebahagian daripada mereka mempunyai masalah untuk mengeja, membina ayat yang lengkap dan menyiapkan karangan.”
Ikmal turut memaklumkan program ini akan membantu membina keyakinan diri pelajar dan menambahkan kemahiran berbahasa sebagai persediaan menduduki peperiksaan yang akan datang.
Pengetua SMK St. Patrick, Hamidah Ghazali berkata, “Kami mengharapkan pelajar dapat menerima manfaat yang banyak melalui program ini, terutamanya dalam meningkatkan kemahiran bertutur dan menulis kerana majoriti pelajar yang terlibat merupakan pelajar peralihan yang telah ketinggalan dalam pelajaran.”
“Selain itu, kebanyakan pelajar ini datang dari keluarga B40, maka kami berharap dengan adanya program sebegini dapat membantu mereka memperbaiki ekonomi dan status keluarga di masa akan datang,” ujar Hamidah lagi.
Program ini melibatkan beberapa aktiviti menarik seperti menjawab kertas ujian dan permainan interaktif, dan kesemua aktiviti dijalankan dalam bilik darjah dan dewan sekolah.
Pelajar yang berjaya meraih markah paling tinggi akan diberi ganjaran sebagai motivasi kepada kesemua pelajar yang terlibat supaya berusaha bersungguh-sungguh sepanjang program dijalankan.
Teks: Nurhidayah Shahbuddin
- Created on .
- Hits: 676