USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NUR AZWA TIDAK KEKOK PANDU DAN KENDALI AMBULANS

SAVE 20220831 235108

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 Sept. 2022 – Mungkin seakan tidak percaya apabila melihat kaum wanita mampu mengendalikan ambulans kerana tugas ini biasanya digalas oleh kaum lelaki, namun itu adalah tanggungjawab yang perlu digalas oleh Penolong Pegawai Perubatan (PPP) di Jabatan Kecemasan, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM)

Tugas yang diberi sedikitpun tidak mematahkan semangat PPP wanita untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab sama seperti PPP lelaki dalam memberikan khidmat terbaik kepada pesakit. 

Menyelusuri kisah salah seorang PPP wanita yang mampu mengendalikan ambulans sebagai pemandu selain turut bertindak sebagai paramedik, Nur Azwa Saiful Bahrin, 30, memberitahu, berbekalkan keazaman yang tinggi, beliau menyahut cabaran yang dipertanggungjawab kepadanya dengan hati terbuka selepas melapor diri sebagai PPP di Jabatan Kecemasan, Hospital USM pada tahun 2015. 

SAVE 20220831 235122

“Bermula tahun 2018, setiap kali mendapat panggilan kecemasan dan ditugaskan untuk ke tempat kejadian, saya biasanya digandingkan dengan seorang lagi PPP bertanggungjawab untuk memeriksa dan memastikan ambulans serta beg peralatan kecemasan dalam keadaan baik dan sedia untuk digunakan kerana kebanyakan kes trauma atau medikal perlu diberikan rawatan segera di tempat kejadian atau di dalam ambulans. 

“Pelbagai cabaran, suka duka, pahit manis, cacian dan hinaan dilalui apabila berhadapan dengan pelbagai kategori masyarakat dan itu sudah menjadi asam garam hidup saya tetapi pengalaman inilah yang mematangkan saya dalam membuat keputusan bagi menyelesaikan sesuatu kes,” ujarnya semasa ditemu bual. 

Menurut Azwa, pada peringkat awal mengendalikan ambulans, penerimaan masyarakat apabila melihat dua orang PPP wanita yang tiba di tempat kejadian seakan-akan tidak yakin dengan kemahiran dan kepakaran kami. 

“Namun, apabila kami menguruskan pesakit daripada memberikan rawatan, mengangkat dan menyorong pesakit masuk ke dalam ambulans, mereka terkesima melihat kudrat kaum hawa juga mampu melaksanakan tugas yang sebelum ini dimonopoli oleh kaum adam. 

SAVE 20220831 235144

“Terima kasih kepada pihak pengurusan USM kerana memberi peluang dan tanggungjawab melaksanakan skop tugas yang sama kepada PPP wanita agar kami mampu bersaing dan berada sebaris dengan PPP lelaki yang lain,” kata anak kelahiran Senawang, Negeri Sembilan ini. 

Azwa turut berterima kasih kepada keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa memberi semangat serta galakan untuk beliau meneruskan tugasnya menabur bakti kepada masyarakat. 

Sementara itu, menurut Pensyarah Kanan, Jabatan Perubatan Kecemasan, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM yang juga Penyelaras Perkhidmatan Pra-hospital, Dr. Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah, Hospital USM merupakan pelopor di Malaysia yang memperkenalkan PPP (wanita dan lelaki) sebagai pemandu dan pada masa yang sama memberi perawatan (paramedik) dalam sesebuah ambulans. 

“Tercetusnya idea untuk memperkenalkan sistem ini selepas banjir besar pada tahun 2014 dan kami merasakan perkhidmatan ambulans perlu dinaik taraf. 

“Kalau dahulu, perkhidmatan ambulans dikendalikan oleh seorang pemandu, seorang Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK), seorang PPP dan seorang Pegawai Perubatan iaitu memerlukan empat (4) orang kakitangan dalam satu masa untuk mengendalikan satu kes panggilan ambulans.

“Bermula 15 Mac 2017, Hospital USM mula melaksanakan sistem baharu yang mana dua (2) orang PPP ditugaskan untuk mengendalikan sebuah ambulans termasuklah memandu dan merawat mangsa," katanya. 

Beliau yang juga Penyelaras Pusat Pengurusan Bencana, Kampus Kesihatan USM, berkata, sistem ini merupakan cetusan idea daripada Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman yang ketika itu merupakan Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Kecemasan USM. 

“Beliau memanggil saya bersama dua lagi Penyelia PPP iaitu PPP Rozlan Yaacob dan PPP Mohd Zainuddin Berhim untuk berbincang dan menghasilkan kertas kerja sebelum dibentangkan kepada pengurusan tertinggi universiti mengetengahkan cadangan untuk mengimplementasi PPP sebagai pemandu dan pemberi rawatan dalam sesebuah ambulans.

“Cadangan kami diterima sepenuhnya oleh pengurusan tertinggi kerana ia tidak melibatkan kos selain turut menjimatkan sumber manusia,” ujarnya lagi. 

Tambah beliau lagi, sejak menggunakan sistem ini, implikasi terbesar yang direkodkan ialah berjaya mengurangkan sela masa panggilan ambulans untuk sampai ke lokasi kejadian daripada 28.7 minit kepada 11.3 minit sehingga kini. 

“Selain itu, ia juga berjaya mengurangkan aduan daripada masyarakat yang menerima perkhidmatan kami. 

“Bertepatan dengan moto USM iaitu ‘We Lead’, USM sentiasa menjadi yang terawal melakukan sesuatu perubahan dan saya berharap sistem ini diamalkan secara berterusan selain menjadi penanda aras kepada hospital lain di seluruh Malaysia dengan mengambil kira model yang dilaksanakan di Hospital USM di dalam Perkhidmatan Pra-hospital khususnya," ulasnya. 

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 407

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024