USM TERIMA KUNJUNGAN HORMAT WAKIL KEDUTAAN REPUBLIK IRAQ DI MALAYSIA
USM PULAU PINANG, 23 Sept. 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menerima kunjungan hormat daripada Profesor Madya Dr. Ahlam Naemah Lafta, Atase Kebudayaan dan Dr. Salah Mahdi Kaleel, Penasihat Akademik dari Kedutaan Republik Iraq di Malaysia.
Kehadiran mereka berdua disambut oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat di Bangunan Canselori di sini.
Narimah dalam ucapan alu-aluannya merakamkan terima kasih atas kunjungan dari kedua-dua pegawai kedutaan Republik Iraq tersebut.
Beliau berharap kunjungan tersebut akan mengeratkan lagi hubungan yang sedia terjalin antara USM dan pihak kedutaan serta institusi pengajian tinggi di Iraq.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk hal-ehwal pelajar ijazah tinggi dari Iraq seperti kebajikan pelajar, permohonan visa belajar, biasiswa, bantuan kewangan dalam bentuk lantikan sebagai Graduate Research Assistant (GRA) bagi pelajar yang layak.
Selain itu perbincangan juga berkisar berkenaan potensi yang boleh diterokai dan boleh dikembangkan antara USM dan institusi pengajian tinggi di Iraq.
Pihak kedutaan Iraq juga menunjukkan minat dengan aktiviti mobiliti pelajar termasuk pertukaran pelajar, malah bercadang untuk menambah jumlah pelajar Iraq di USM terutamanya pelajar pra-siswazah berbanding sekarang yang lebih tertumpu kepada pelajar ijazah sarjana dan kedoktoran.
Pihak kedutaan juga menitikberatkan agar calon-calon siswazah dari Iraq mendapat pendedahan, menimba pengetahuan dan pengalaman sepanjang mereka melanjutkan pengajian di USM dan lain-lain institusi pengajian tinggi di Malaysia.
Hal ini supaya mereka lebih terampil dan berkeyakinan dengan pengalaman dan pendedahan yang diterima sepanjang pengajian. Sehubungan dengan itu juga pihak kedutaan Republik Iraq merancang untuk menjalin kerjasama dengan USM bagi sebarang program yang berpotensi untuk diketengahkan termasuklah pertukaran staf dan sebagainya.
Turut hadir ialah Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS), Profesor Dr. Azlan Abdul Aziz; Pengarah Pembangunan Korporat Strategik, Tuan Haji Muhamad Sabri Said; Pegawai Tadbir Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa (IMCC), Clarene Tan Chern Chieh; Ketua Penolong Pendaftar Bahagian Akademik dan Antarabangsa, Amirullah Zainal Abidin dan Penolong Pendaftar Kanan, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Nor Eliza Hashim.
Teks: Zamzami Rasidi/Poster & Foto: Muhamad Ihsan Abu Bakar & Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 375