USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM LANCAR PUSAT PERUBATAN USM BERTAM UNTUK NAIK TARAF PERKHIDMATAN KESIHATAN MASYARAKAT

306081940 5581897078537946 5053102657255328634 n

BERTAM, 21 Sept. 2022 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan hari ini melancarkan secara rasmi Pusat Perubatan USM Bertam yang akan memberi satu lagi perkhidmatan rawatan kesihatan kepada orang ramai yang akan dimajukan sebagai sebuah hospital disasarkan pada 2026 nanti.

Sebelum ini, perkhidmatan ini adalah sebahagian daripada Perkhidmatan Klinikal Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) yang menjadi pusat latihan dan penyelidikan kepada pelajar di samping memberi rawatan kepada pesakit yang kini dijenamakan sebagai Pusat Perubatan USM Bertam dan diluluskan oleh Lembaga Gabenor USM.

Pusat Perubatan USM Bertam ini menjadi sebahagian daripada perkhidmatan Hospital USM yang berada di Kubang Kerian Kelantan dan akan menyediakan perkhidmatan rawatan perubatan dan pergigian termasuk untuk pesakit kanser/onkologi.

Pusat Perubatan USM Bertam mempunyai kepakaran dan fasiliti termasuk 27 buah katil wad pesakit dalam, unit rawatan rapi (ICU), wad radioiodin, teater pembedahan, endoskopi dan lain-lain di samping fasiliti dan makmal untuk rawatan pergigian.

Untuk menampung kos operasi Pusat Perubatan USM Bertam ini, tumpuan diberi kepada pesakit berbayar melalui insurans, pesara kerajaan dan pihak-pihak yang mempunyai perjanjian dengan USM seperti PERKESO.

Namun begitu, untuk membantu komuniti yang memerlukan bantuan rawatan perubatan dan pergigian, usaha dibuat untuk mengumpul dana melalui tabung amanah daripada sumber dalaman USM, wakaf atau sumbangan oleh syarikat korporat dan agensi-agensi kerajaan, Majlis Agama serta badan bukan kerajaan/badan sukarela (NGO) untuk membiayai atau menampung sebahagian kos rawatan pesakit.

USM juga turut melancarkan Pusat Sumber Penyakit Buah Pinggang Kronik, Program Clinical Fellowship PPUSMB – IPPT dan Sambutan Program ‘Outreach’ Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS) peringkat Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT).

Pusat Sumber Penyakit Buah Pinggang Kronik adalah yang kedua ditubuhkan dalam USM selepas CKDRC di Hospital USM Kubang Kerian yang telah mula beroperasi sejak tahun 2011.

CKDRC telah memulakan perkhidmatannya di Bertam pada bulan Jun 2022 untuk menjadi sebuah pusat sehenti (one-stop centre) bagi pencegahan dan perawatan penyakit buah pinggang kronik secara bersepadu dan sistematik.

305269834 5581897195204601 3404564735433931915 n

Antara perkhidmatan yang ditawarkan di CKDRC adalah klinik pakar nefrologi, ultrasound vaskular, penilaian berat kering pesakit buah pinggang kronik, pembedahan AVF, kaunseling secara berkumpulan (melibatkan unit dietetik dan farmasi), kursus dan juga aktiviti penyelidikan.

Program Clinical Fellowship PPUSMB – IPPT pula menawarkan peluang bagi menambah ilmu dan kemahiran klinikal kakitangan kesihatan terutamanya doktor pakar dalam bidang-bidang tertentu yang lebih spesifik.

Program Clinical Fellowship yang dilancarkan adalah Clinical Brachytherapy and Brachytherapy Physics setelah IPPT USM menerima akreditasi sebagai Pusat Latihan dan Penyelidikan Antarabangsa BrachyAcademy sejak awal tahun ini.

Sementara itu Program ‘Outreach’ kerjasama antara Universiti Sains Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS) peringkat IPPT USM adalah program strategik memperkasa rakyat dan ekonomi (PEMERKASA) sebagai salah satu daripada strategi kerajaan bagi melonjakkan kembali ekonomi negara yang terkesan akibat wabak COVID-19.

Menerusi inisiatif Ke-16 PEMERKASA, kerajaan telah memperuntukkan RM30 juta untuk Hospital Pengajar Universiti (HPU) menjalankan program ‘outreach’ berkaitan dengan kesihatan yang dinamakan KRIS.

Antara aktiviti program KRIS adalah pemeriksaan kesihatan, ujian saringan kanser (mamogram), lawatan ke rumah pesakit, ceramah dan pameran kesihatan yang telah memberi manfaat terutama kepada golongan B40 yang tinggal di luar bandar bagi meningkatkan akses rakyat kepada kemudahan kesihatan.

Di peringkat PPUSMB dan IPPT, KRIS telah bekerjasama dengan pelbagai pihak antaranya Pusat Perubatan Universiti Malaya, One Hope Charity & Welfare dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk memberikan akses rawatan kepada penduduk di kawasan Stadium Darulaman Alor Setar, Pantai Merdeka, Penaga, Rantau Panjang, Sungai Bakap dan Tok Kandu.

Antara yang turut hadir, Ahli Lembaga Gabenor Universiti, Noor Azam Mohd Noor; Pengarah IPPT, Profesor Dr. Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin; Timbalan-Timbalan Naib Canselor USM; Ahli-Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU); serta Mantan-Mantan Pengarah dan Mantan-mantan Timbalan Pengarah IPPT.

  • Created on .
  • Hits: 833

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024