USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROGRAM LIFE USM BERI PELAJAR ILMU BERKAITAN WARISAN DUNIA UNESCO

305274415 5594376810623306 988081384914912322 n

KOTA TAMPAN, LENGGONG 25 SEPTEMBER 2022 - Program Life: Discovering Labs@Archeo Universiti Sains Malaysia (USM) telah diadakan di Pusat Lapangan Arkeologi USM yang terletak di Kota Tampan, Lenggong, Perak baru-baru ini yang memberi pengalaman dan pendedahan bermakna kepada pelajar USM yang menyertainya.

Seramai 51 orang pelajar tahun 1 hingga 3 dari ketiga-tiga kampus Induk, Kejuruteraan dan Kesihatan telah menyertai program sehari di sana. Antara pelajar yang mengikuti program tersebut terdiri daripada pelajar Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Pusat Pengajian Sains Komputer, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan manakala peserta dari Kampus Kejuruteraan pula terdiri daripada pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

Ketibaan para pelajar disambut oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Profesor Dr. Stephen Chia Ming Soon.

Menurut Profesor Dr. Stephen, program ini antara lain bertujuan untuk memperkenalkan dan memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan bidang arkeologi serta memberi mereka merasai sendiri pengalaman menjadi seorang ahli arkeologi.

Profesor Dr. Stephen yang dibantu oleh lain-lain fasilitator telah memberikan taklimat, pendedahan dan bimbingan kepada pelajar dalam melakukan beberapa aktiviti arkeologi secara ‘hands-on’ seperti ekskavasi arkeologi, lawatan ke tapak arkeologi, demonstrasi dan eksperimen membuat dan penggunaan artifak alat batu, menyumpit serta melihat perkakasan yang digunakan untuk kehidupan sehari-hari manusia pra sejarah termasuk analisis artifak di lapangan.

Disamping itu, para pelajar juga diberi peluang melawat tapak arkeologi Gua Teluk Kelawar dan menjalankan aktiviti gotong-royong “Bersama menjaga Kepentingan Warisan Arkeologi” iaitu aktiviti pembersihan bersama agensi Jabatan Warisan Negara.

Selain itu para pelajar juga menyertai aktiviti mencari siput sedut di Sungai Temelong yang merupakan makanan masyarakat purba “Perak Man” di Tapak Arkeologi Warisan Dunia UNESCO Lembah Lenggong, Perak. Program ini sewajarnya antara lain boleh memberikan impak yang sangat positif kepada pelajar yang menyertainya.

Pendedahan secara langsung kepada bidang arkeologi, kaedah dan teknik kajian arkeologi memberi keterujaan dan kesedaran untuk menghargai dan memelihara tapak arkeologi di Lembah Lenggong. Justeru peserta dapat lebih menghargai sejarah dan nilai warisan arkeologi negara serta menjadi komuniti masa depan yang celik sejarah, menghargai warisan arkeologi negara di tapak warisan dunia UNESCO Lenggong, Perak.

Peserta yang ditemui berasa sangat bersyukur dapat turut serta dalam program ini. Walaupun bidang arkeologi berbeza dengan bidang pengajian yang sedang diikuti, namun sedikit sebanyak membuka minda mereka serta memberi pengalaman baru yang tidak ternilai.

Pelajar tahun 1 dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Kampus Kejuruteraan, Nur Fatihah Syed Omar menyatakan sangat gembira menjadi peserta program ini. Beliau menyifatkan dengan pendedahan ini, telah merubah mindanya menjadi lebih ‘segar’ serta mendapat pengetahuan baharu terutama tentang kehidupan manusia pra-sejarah yang hidup ribuan tahun silam.

Bagi pelajar tahun 2 dari Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP), Nur Farah Elliyana Rusdin pula, beliau sangat berminat dengan kerja-kerja ekskavasi walaupun mengambil pengkhususan dalam bidang rekaan dalaman di HBP.

Menurutnya, mungkin satu hari nanti beliau boleh membuat rekaan dalaman untuk muzium misalnya yang berkaitan dengan manusia pra-sejarah dan sebagainya.

Pendapat Nur Farah turut disokong oleh pelajar tahun 1 dari Pusat Pengajian Sains Komputer, Nur Fathin Badrisyia Ahmad Sukri yang menyatakan bidang sains komputer boleh membantu kerja-kerja ekskavasi dengan lebih baik dan cepat dengan peralatan yang canggih serta mungkin mengurangkan kos.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah PPGA, Dr. Velat Bujeng, pensyarah PPGA Dr. Khairunnisa Talib, dan kakitangan PPGA.

Teks : Zamzami Rasidi
Foto : Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 535

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024