USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KITA BERUPAYA MENJADI TERKEMUKA DI DUNIA, KATA NC

290813 - a

NIBONG TEBAL, 28 Ogos 2013 - Unversiti Sains Malaysia (USM) malah Kampus Kejuruteraan USM berupaya untuk menjadi yang terbaik di dunia pada masa hadapan setaraf dengan universiti terkemuka lain yang ada di Amerika Syarikat mahu pun mana-mana negara lain seperti Britain mahu pun Jepun.

“Yang penting kita perlu keluar dari pemikiran sedia ada dan bersikap realistik,” kata Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan USM di Kampus Kejuruteraan hari ini.

Katanya, tidak mustahil untuk Kampus Kejuruteraan merintis jalan sedemikian, menjadi kebanggaan dan menjadi antara yang terkemuka di dunia jika semua pihak berganding bahu berbuat demikian dan menjalinkan perhubungan yang rapat dengan universiti dan institusi terkemuka lain di dunia.

“Yang penting kita jangan mudah berpuas hati dengan kejayaan yang ada sebaliknya terus mencabar diri untuk melakukan apa sahaja yang boleh untuk menjadi yang terbaik seperti yang dicapai oleh sesetengah disiplin kejuruteraan sekarang ini,” kata Omar.

290813 - b

 

Beliau turut mencadangkan Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC) menjadi pusat penjanaan kewangan utama di Kampus Kejuruteraan melalui usaha menyediakan perkhidmatan penyelidikan, kolaborasi dengan pelbagai pihak luar, mengadakan latihan kejuruteraan dan teknologi dan lain-lain selagi dalam kerangka pendidikan dan penyelidikan yang sesuai dengan universiti.

Kira-kira 150 orang menghadiri perjumpaan yang pertama kali diadakan di sini termasuk dekan-dekan dan ketua-ketua jabatan serta warga pentadbiran. Hadir sama ialah Timbalan-timbalan Naib Canselor, Pengarah Kampus Kejuruteraan dan Pengarah Kampus Kesihatan serta ahli-ahli mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti yang bermesyuarat di sini selepas selesai Perhimpunan Bulanan. - Teks/Foto: MOHAMAD BIN ABDULLAH

  • Created on .
  • Hits: 1065

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024