50 TAHUN DAN TERUS GAH MEMIMPIN BIDANG PENDIDIKAN FARMASI - PPSF USM
Tanggal 25 September telah dipilih sebagai tarikh Hari Ahli Farmasi Sedunia sejak tahun 1912, dalam sebuah kongres di Istanbul, Turki.
USM PULAU PINANG, 23 Sept. 2022 – Bersempena dengan ulang tahun Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF) Universiti Sains Malaysia (USM) yang mencapai usia 50 tahun penubuhannya pada tahun ini, sambutan Hari Ahli Farmasi Sedunia 2022 peringkat USM telah diadakan dengan gilang-gemilang sekali petang ini di sini.
Menurut Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi, Profesor Dr. Habibah A. Wahab, Hari Ahli Farmasi Sedunia disambut pada 25 September setiap tahun dan pada tahun ini, tema yang diberikan oleh International Pharmaceutical Federation (FIP) untuk sambutan Hari Ahli Farmasi Sedunia ialah ‘Pharmacy United in Action for a Healthier World’.
“Bersempena dengan sambutan ulang tahun PPSF yang ke-50 tahun pada tahun ini, maka PPSF mengambil inisiatif untuk menyelaraskan sambutan Hari Ahli Farmasi Sedunia secara besar-besaran berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Sambutan yang diadakan kali ini telah bermula pada 19 September yang lalu, dengan tiga webinar yang telah diadakan pada 19, 20 dan 22 September merangkumi tajuk-tajuk menarik yang menyentuh pelbagai isu penting dari segi kesihatan dan keselamatan masyarakat secara amnya,” jelasnya.
Tambahnya, selama dua hari ini, terdapat pelbagai pameran dan aktiviti yang telah dijalankan, antaranya saringan kesihatan iaitu kerjasama antara pelajar farmasi, ahli farmasi Pusat Sejahtera dan farmasi komuniti, sangat menguatkan maksud tema sambutan Hari Farmasi Sedunia tahun ini. Selain itu, konsultasi berkaitan ubat-ubatan beserta ceramah berkaitan turut diadakan.
“Terdapat juga beberapa aktiviti yang ditujukan kepada kanak-kanak dan pelajar sekolah, seperti Pertandingan Mewarna dan Pidato, Teddy Bear Pharmacy serta Pharmacy4Kids yang sememangnya mengasah bakat dan minda generasi muda,” katanya lagi.
Selain itu, pameran-pameran seperti Kenali Ubat Anda dan Perkhidmatan Farmasi di Hospital oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Penyalahgunaan Ketum oleh Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan, Keracunan di Rumah oleh Pusat Racun Negara, demonstrasi pembancuhan ubat oleh PPSF dan pelbagai lagi turut berlangsung.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato' Gs. Dr. Narimah Samat mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak PPSF atas usaha untuk mengadakan sambutan yang melibatkan beberapa jabatan dan unit di dalam USM ini, dan juga melibatkan Hospital Pulau Pinang.
Katanya, tema sambutan pada tahun ini diberikan untuk memperlihatkan impak positif ahli farmasi terhadap kesihatan masyarakat di seluruh dunia dan di samping itu, kesemua ahli farmasi biarpun dari bidang yang berbeza harus terus mengukuhkan perpaduan sesama profesyen dengan meraikan kepelbagaian yang ada.
“Ahli farmasi berperanan besar dalam bidang kesihatan, tetapi sering dilupakan oleh masyarakat terutamanya di Malaysia. Sehinggalah pandemik COVID-19 yang melanda dunia baru-baru ini, barulah kerjaya seorang ahli farmasi itu mula disebut-sebut.
“Contohnya semasa perintah kawalan pergerakan 1.0, ketika klinik-klinik kesihatan dan hospital sesak dengan bilangan pesakit COVID-19 yang memerlukan perhatian dan rawatan rapi, kedai-kedai farmasilah yang menjadi tumpuan untuk mendapatkan rawatan penyakit-penyakit ringan,” ujarnya lagi ketika berucap merasmikan sambutan.
Tegasnya lagi, PPSF sendiri telah memberikan sumbangan yang besar kepada USM dan Pegawai Farmasi dari Pusat Sejahtera dan Unit Farmasi Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) juga merupakan tulang belakang kepada pembekalan vaksin semasa Kampus Induk USM dan IPPT bertindak sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kepada masyarakat di Pulau Pinang.
Di samping itu, para ahli farmasi dari PPSF dan Pusat Racun Negara telah sama-sama membantu pasukan dari Pusat Sejahtera di Stesen 3 PPV iaitu Stesen Kaunseling dan Persetujuan Imunisasi.
Program sambutan ini merupakan kerjasama bersama Pusat Racun Negara, Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan, Pusat Sejahtera, Unit Farmasi IPPT dan Jabatan Farmasi Hospital Pulau Pinang.
Turut hadir memeriahkan majlis perasmian petang ini ialah isteri Naib Canselor USM, Datin Mazarisusanty Ibrahim, yang juga seorang Ahli Farmasi di Jabatan Farmasi Hospital Pulau Pinang; dan ketua-ketua jabatan PTJ USM.
Pusat Pengajian Sains Farmasi merupakan pusat pengajian yang pertama yang menawarkan program Sarjana Muda Farmasi di Malaysia dan terus mengekalkan kecemerlangan ranking nombor satu di Malaysia mengikut QS Ranking bagi bidang farmasi dan farmakologi.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 646