USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MOU USM-YAPEIM DAN PELANCARAN TABUNG WAKAF ANTARA PENGISIAN BERIMPAK SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1444 USM

USM PULAU PINANG, 22 Sept. 2022 – Sambutan Maal Hijrah 1444 peringkat Universiti Sains Malaysia (USM) disambut dengan sederhana tetapi penuh bermakna dengan pengisian beberapa acara dan program, di antaranya Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Khas Pusat Islam, Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara USM dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Sumbangan YaPEIM dan Pelancaran Tabung Projek Waqaf Pengajian Tinggi USM.

USM 5731

USM 5661

Majlis sambutan kali ini diadakan di Dewan Pelinggam Cahaya, Pusat Pengajian Seni di sini, dan dirasmikan oleh Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman yang mewakili Naib Canselor USM.

Dalam teks ucapan Naib Canselor yang dibacakan oleh Nik Hisamuddin, beliau menyeru agar setiap muslim menghayati nilai-nilai Islam yang syumul supaya menjadi ikutan dan model terbaik bagi mencipta kegemilangan dunia dan akhirat.

Menurutnya, majlis sambutan Maal Hijrah yang bertemakan “Keluarga USM, Pemangkin Kesejahteraan” adalah bertepatan dengan Islam yang mengajak umat manusia untuk saling hormat menghormati, berkasih sayang, bertoleransi, saling memaafkan dan bersifat belas kasihan.

Tema ini sewajarnya memberi inspirasi kepada warga USM untuk mengikut acuan Baginda Nabi Muhammad S.A.W dalam segenap aspek kehidupan selain untuk menunjukkan kesatuan dan kemuafakatan ajaran Islam yang dibawa baginda dalam dakwahnya, sekaligus dipraktikkan apabila semua pengisian berjaya dilaksanakan dengan baik.

USM 5668

“Sambutan tahun baharu hijrah perlu dihayati supaya kita boleh menerima perubahan ke arah yang lebih baik. Sirah perjuangan Nabi Muhamad S.A.W dan para sahabat telah berjaya menyatukan dan mempersaudarakan umat Islam di Madinah melalui penyatuan persaudaraan golongan Muhajirin dan Ansar dalam membentuk kesatuan ummah yang mantap dan kukuh perlu dicontohi.

“Persaudaraan ini menjadikan kaum muslimin sebagai umat contoh dalam kalangan masyarakat Madinah yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama termasuk orang Yahudi,” ujarnya.

“Semoga dengan penghayatan nilai Islam oleh setiap individu muslim di Malaysia dapat menjadi ikutan dan model negara Islam terbaik untuk mencipta kegemilangan, terutama dalam kalangan negara-negara Islam mahupun negara bukan Islam di dunia ini.

“Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada kesemua 16 penerima Anugerah Khas Pusat Islam USM dan semoga dengan penganugerahan ini, anda semua dapat meningkatkan lagi semangat juang dalam menaburkan jasa kepada USM khususnya dan negara amnya,” katanya.

Seramai 7 penerima Anugerah Kecemerlangan Khas Pusat Islam dari Kampus Induk, 4 dari Kampus Kejuruteraan, 3 dari Kampus Kesihatan dan 2 penerima dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT).

“Saya merafak syukur ke hadrat Ilahi kerana bersempena dengan Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat USM 1444 ini turut termeterainya majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara USM dan YaPEIM.

“Penandatanganan MoU ini akan memanfaatkan sejumlah besar warga USM dan Qaryah Masjid iaitu melalui potongan gaji bulanan staf USM akan memberikan pulangan semula sebanyak 50% kepada warganya,” jelasnya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Tuan Haji Awang@Musran Haji Tawil pula memanjatkan kesyukuran kerana MoU dengan pihak USM ini berjaya dilaksanakan.

Menurut beliau, YaPEIM komited untuk membantu masyarakat dan keluarga Islam di Malaysia yang hidup di bawah garis kemiskinan yang memerlukan pelbagai bantuan, kewangan, makanan dan pendidikan untuk anak-anak mereka menerusi pelbagai program sosio-ekonomi dan amal jariah.

“Alhamdulliah di Malaysia ini terdapat ramai golongan budiman dan penderma terutamanya dalam kalangan kakitangan kerajaan yang menyumbang melalui potongan gaji kepada YaPEIM dan nilai ini menghampiri jumlah sehingga RM50 juta setiap tahun.

“Pastinya usaha membantu masyarakat tidak akan berjalan lancar tanpa sumbangan dari masyarakat sendiri untuk menjayakan program amal jariah YaPEIM seperti food bank, Inspirasi Prihatin, Sinar Kasih dan skim-skim yang lain,” katanya lagi.

Di akhir ucapan, beliau menegaskan bahawa hasil persefahaman antara kedua-dua belah pihak iaitu YaPEIM dan USM telah berjaya membuka ruang kerjasama untuk berkolaborasi dan melalui MoU ini ianya akan memudahkan agihan sumbangan kepada penerima.

Pihak YaPEIM juga turut menyampaikan sumbangan wang tunai RM100 dan RM200 selain sumbangan kit makanan daripada Pusat Islam bernilai RM50 kepada penerima yang layak.

USM 5749

Dalam majlis yang sama, turut dilancarkan Tabung Projek Waqaf Pengajian Tinggi USM melalui 3 tabung utama iaitu Waqaf Sumber Rujukan Perpustakaan USM, Waqaf Surau Pusat Komuniti IPPT USM dan Waqaf Laluan Rahmah Masjid USM.

Hadir ke sambutan ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf Pulau Pinang, Tuan Haji Rosidi Hussain; Ketua Bahagian Pengurusan Sumber Dana YaPEIM, Mohd Rozaidi Hamat; Pengurus Bahagian Dakwah Am Zakat Pulau Pinang, Tuan Haji Azhari Ahmad; Pengarah Pusat Islam USM, Tuan Haji Mohamad Shukri Osman; Ahli-ahli Jawatankuasa Sambutan Maal Hijrah dan warga USM.

Teks: Zamzami Rasidi/Foto: Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 398

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024