ZAKAT DAN WAKAF TUNJANG PEMERKASAAN EKONOMI ISLAM
USM PULAU PINANG, 20 Sept. 2022 – Seminar Pemerkasaan Ekonomi Melalui Instrumen Zakat dan Wakaf dilangsungkan dengan jayanya di sebuah hotel di Pulau Pinang anjuran Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Zakat Pulau Pinang, Wakaf Pulau Pinang, Jawatankuasa Hal Ehwal Islam IPTA/IPTS (JAHEIS), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Kelantan pada 21 - 22 Julai 2022.
Seminar yang berlangsung selama dua hari itu diadakan bertujuan untuk memfokuskan usaha mengenal pasti dan merancang peningkatan ekonomi Islam melalui sumber zakat dan wakaf selain turut membincangkan strategi agihan zakat dalam kalangan pelajar asnaf IPTA/IPTS.
12 Resolusi IPTA/IPTS telah berjaya dicapai melalui seminar tersebut, yang akan dijadikan pelan tindakan susulan agar seminar ini dapat merealisasikan agenda-agenda yang telah dibincangkan untuk pemerkasaan ekonomi Islam.
Pengerusi JAHEIS, Profesor Madya Dr. Abdul Aziz Mat Isa telah menyampaikan 12 Resolusi IPTA/IPTS tersebut seperti berikut:
- Perlu ada usaha yang serius dalam memartabatkan peranan hal ehwal Islam IPT berkaitan institusi masjid, aktiviti keagamaan, pembangunan sosial dan ekonomi Islam secara berpusat dengan menjadikan JAHEIS sebagai badan induk yang menyelaraskan pembangunan perkembangan hal ehwal Islam IPT seluruh negara.
- Memperkukuhkan hubungan strategik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan JAHEIS dalam menggerakkan agenda Islam secara bersama melalui penyediaan latihan, pelaksanaan aktiviti, pemindahan ilmu, penempatan silang dan lain-lain lagi yang difikirkan sesuai dari semasa ke semasa.
- Menyelaraskan road map Pusat Islam IPT seluruh negara secara modular melalui JAHEIS dalam aspek pembangunan sumber manusia, kewangan, fasiliti dan aktiviti.
- Membina hubungan antara Majlis Agama Islam negeri-negeri dan JAHEIS sebagai penghubung dalam menyelaras institusi zakat dan wakaf di IPT.
- Pihak pengurusan institusi perlu melibatkan peranan Pusat Islam sedia ada untuk lebih agresif dalam menjana dana melalui instrumen zakat, wakaf dan sedekah.
- Pihak pengurusan institusi dengan kerjasama agensi negeri seperti Majlis Agama Islam, zakat dan wakaf negeri perlu menjalinkan kerjasama erat agar Pusat Islam berperanan sebagai penolong amil zakat negeri dan mutawalli wakaf.
- Dengan kerjasama erat zakat negeri, penolong amil IPT sewajarnya diberi kemudahan untuk menjalankan aktiviti kutipan kaunter, skim potongan gaji serta menerima zakat korporat dengan hak agihan semula sebanyak 50% kepada 5 asnaf iaitu fakir, miskin, mualaf, fisabilillah dan ibnu sabil.
- Pusat Islam juga perlu mengadakan kerjasama erat bersama syarikat-syarikat GLC dan institusi kewangan bagi membolehkan mereka menerima wakalah (wakil) yang lebih besar seperti Tabung Haji, Maybank, Etiqa, Bank Islam dan sebagainya.
- Pihak pengurusan institusi dan Pusat Islam wajar mengambil peluang sepenuhnya melalui instrumen wakaf dengan adanya pelepasan cukai di bawah subseksyen 44(11C) bagi sebahagian negeri dan subseksyen 44(11D) bagi negeri Selangor.
- Mewujudkan panel syariah dan jawatankuasa pelaburan di peringkat institusi bagi memantau dan mengendalikan dana wakaf terkumpul agar ianya dapat menjana pendapatan yang mampan.
- Melalui agensi negeri seperti zakat dan wakaf, sekretariat IPT perlu diwujudkan di peringkat negeri-negeri untuk membantu dan menyokong pergerakan institusi secara lebih tersusun.
- Pengurusan institusi perlu memastikan agar kakitangan mereka menerima latihan secukupnya bagi menggerakkan aktiviti kutipan serta agihan zakat dan wakaf dengan cekap dan teratur.
Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan turut hadir menyampaikan ucaptama bertajuk "Menjuarai Ekonomi Islam Melalui Zakat & Wakaf".
Faisal Rafiq dalam pembentangannya memaklumkan bahawa satu kempen akan dibuat oleh Pusat Islam untuk menggalakkan lebih ramai staf USM yang berkemampuan untuk mengeluarkan zakat dan wakaf.
“Diharapkan agar instrumen zakat dan wakaf ini dapat memberi sumbangan yang lebih bermakna kepada pelajar golongan B40 untuk keperluan pengajian mereka. Saya menjangkakan lebih ramai pelajar dan staf USM akan dapat menerima manfaat selepas kempen ini,” ujar beliau.
Mantan Naib Canselor USM, Profesor Emerita Datuk Dr. Asma Ismail turut menyampaikan pembentangan bertajuk "Zakat Talk Profesional: Strategi Pengembangan Instrumen Pendanaan Islam (Zakat, Wakaf & Sedekah) Dalam Membentuk Ekosistem Kelestarian Ummah" yang disampaikan secara dalam talian.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Zakat Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Kelantan, Tuan Haji Ameer Azizy Tuan Abdullah; Pengarah Pusat Islam USM, Tuan Haji Mohammad Shukri Osman; serta wakil-wakil pelbagai badan kerajaan dan IPTA/IPTS seluruh Malaysia.
Teks: Nurhidayah Shahbuddin
- Created on .
- Hits: 521