USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TERIMA KUNJUNGAN HORMAT JABATAN PREMIER SARAWAK, BINCANG KOMPONEN ASAS EKOSISTEM SESEBUAH ORGANISASI

USM PULAU PINANG, 19 Sept. 2022 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan baru-baru ini (pada 14 Ogos 2022) menerima kunjungan hormat dari Timbalan Menteri Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya.

Kunjungan itu bertujuan untuk ahli jawatankuasa Ombudsman Sarawak serta pegawai Jabatan Premier Sarawak yang hadir mendengar perkongsian pengalaman USM berhubung dengan kepentingan unit Pejabat Ombudsman dan Pejabat Integriti dalam sesebuah organisasi.

Dalam sesi dialog yang melibatkan juga pihak Ombudsman dan Penasihat Undang-Undang USM, kedua-dua pihak membincangkan peranan dan cabaran yang dihadapi oleh unit masing-masing dalam usaha memberi perkhidmatan yang cemerlang dan memberi impak kepada masyarakat, negara dan dunia.

Ombudsman USM, Profesor Dr. Sofri Yahya membentangkan fungsi Pejabat Ombudsman manakala fungsi Pejabat Integriti dibentangkan oleh Penasihat Undang-Undang USM, Dr. Khairul Anuar Che Azmi.

Faisal Rafiq turut membentangkan profil USM untuk memberikan gambaran keseluruhan mengenai USM kepada delegasi Sarawak itu, dan beliau berharap agar sesi perkongsian dan dialog itu tidak terhenti di situ sahaja, malah ianya harus diteruskan dalam beberapa bentuk kerjasama secara langsung demi meningkatkan tahap pencapaian Ombudsman dan Integriti negara.

Sementara itu, Dato’ Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya mempromosi dan berkongsi bagaimana pihak mereka mentadbir urus negeri dengan sebaik yang boleh, berakauntabiliti dan berketelusan.

Kedua-dua pihak berharap agar hasil perbincangan dapat dipraktikkan dalam usaha membangunkan program dan inisiatif yang memenuhi keperluan pelanggan dan pemegang taruh selain meningkatkan penyampaian perkhidmatan kedua-dua pihak.

Turut hadir ke majlis adalah Timbalan-timbalan Naib Canselor USM; barisan Pengarah Jabatan Premier Sarawak, Jabatan Audit Negara Negeri Sarawak; Ketua Audit Dalam USM, ‘Ubaidillah Ozmin dan pegawai-pegawai utama universiti.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 464

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024