USM-GRITZ SDN. BHD. METERAI KERJASAMA STRATEGIK KAJI KEBERKESANAN "EASE NASAL INHALER" BUAT PEROKOK TEGAR
USM PULAU PINANG, 18 Sept. 2022 – Satu majlis penandatanganan Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan GRITZ Sdn. Bhd. telah dilangsungkan pada 19 Julai 2022 yang lalu di sini.
Perjanjian penyelidikan tersebut akan membantu kedua-dua pihak dalam mengeksploitasikelebihan minyak pati tumbuhan dan memberi bukti saintifik keberkesanan produk ini kepada pengguna.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed yang mewakili Naib Canselor USM, dalam ucapannya amat mengalu-alukan kerjasama dengan pihak GRITZ Sdn. Bhd. kerana USM sentiasa komited dan membuka pintu kerjasama kepada semua pihak yang ingin berkolaborasi dalam apa jua bidang yang boleh memberi impak yang baik kepada masyarakat dan negara.
“Adalah menjadi tanggungjawab USM selaku institusi pendidikan tinggi di negara ini untuk berkongsi kepakaran dan ilmu yang boleh diterjemahkan dalam bentuk pelan tindakan,” katanya.
Menyedari akan tanggungjawab tersebut, USM dan GRITZ Sdn. Bhd. akan bekerjasama untuk mengkaji keberkesanan produk "Ease Nasal Inhaler" secara saintifik dalam mengurangkan ketagihan perokok.
Tambah beliau, “Produk ini sebenarnya telah berada di pasaran dan didapati berjaya mengurangkan ketagihan merokok dalam kalangan perokok tegar. Namun, masih tiada ujian saintifik yang dilakukan untuk membuktikan keberkesanannya.”
“Maka bagi merealisasikan hasrat tersebut, penyelidik-penyelidik USM dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Pusat Pengajian Teknologi Industri dan Pusat Racun Negara sedia membantu untuk menjalankan kajian bagi mengenal pasti tahap keberkesanan produk ini terhadap perokok,” katanya lagi.
“Kami amat bersyukur dan gembira dapat bekerjasama dengan para penyelidik USM yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing,” kata Pengarah Urusan GRITZ Sdn. Bhd., Nur Fatehah Basran dalam ucapannya.
“Gritz amat berbesar hati kerana hasrat kami untuk melakukan kajian dan penyelidikan keberkesanan produk Ease Nasal Inhaler ke atas perokok disambut baik oleh USM,” katanya.
Ease Nasal Inhaler ini ialah alat sedut pertama yang berasaskan minyak pati tumbuhan dan telah mendapat kelulusan Biro Farmaseutikal Kebangsaan Malaysia (NPRA).
Turut hadir sama di majlis perjanjian ini ialah wakil Dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Prof. Madya Dr. Amir Hamzah Ahmad Ghazali dan pengasas Gritz Sdn. Bhd, Nor Ritawati Omar.
Teks: Nurhidayah Shahbuddin/Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 1002