MENGENANG 14 TAHUN APEX USM DAN PERJUANGAN KELESTARIAN
Sumbangan: En. Mohamad Abdullah (Ketua Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Naib Canselor USM)
4 September 2022 genap 14 tahun Universiti Sains Malaysia (USM) diberikan tanggungjawab melaksanakan Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX). Pengumuman dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin.
APEX adalah sebahagian daripada National Higher Education Action Plan (2007 - 2020) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 27 Ogos 2007.
Menurut Mohamed Khaled, "Apex is about the future. We are not talking about the position of the universities. We are identifying one that can go leaps and bounds into excellence with government help!" (NST, 4 September 2008).
Cadangan dibuat untuk pertimbangan Jawatankuasa APEX Kementerian Pengajian Tinggi yang dipengerusikan oleh mantan Naib Canselor UNIMAS, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Zawawi Ismail pada awal tahun 2008. Sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak yang dikenali sebagai University APEX Dream Team yang terdiri daripada lebih 100 orang mewakili seluruh komuniti kampus. Saya terlibat sebagai Setiausaha pasukan itu.
Jawatankuasa ini bermesyuarat hampir setiap hari sehingga jam 3.00 pagi - 4.00 pagi selama kira-kira 2 minggu dan menghasilkan kertas cadangan buku hitam yang bertajuk Transforming Higher Education for a Sustainable Tomorrow.
Universiti memilih tema kelestarian sebagai fokus perubahan dalam pendidikan tinggi untuk memastikan masyarakat yang lebih mementingkan kelangsungan masa hadapan dalam kehidupan.
Untuk memastikan masyarakat memahami usaha yang bakal dilakukan oleh USM melalui APEX, siri sidang media yang berterusan telah diadakan untuk berkongsi dengan orang ramai tentang kesediaan USM dengan nilai-nilai kelestarian, antaranya mendidik masyarakat terutamanya pelajar tentang alam sekitar dan pentingnya menerapkan nilai-nilai murni dalam amalan hidup seharian. Ini termasuklah pelbagai usaha penyelidikan yang dibuat untuk menghasilkan produk yang lestari dan bersifat bio-terurai.
Ini juga sesuai dengan kedudukan USM yang dipilih sebagai Pusat Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (EfSD) oleh United Nations University Tokyo pada masa itu.
Ini juga adalah ekoran kejayaan besar advokasi pelajar dalam kelestarian iaitu kempen The White Coffin untuk mengharamkan penggunaan polistrina dalam masyarakat bermula dengan komuniti kampus. Ini diikuti dengan kempen pengurangan penggunaan plastik yang menjadi agenda nasional kemudiannya.
Menurut Naib Canselor USM ketika itu, Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, "Sustainability, broadly defined thus, applies to many disciplines, including economic development, environmental and natural resources management, food production, energy, and socio-cultural dimensions and lifestyles engaged in a transdisciplinary mode. It is within this framework that USM focuses its vision of a sustainable tomorrow while keenly promoting values such as equity, accessibility, availability, affordability and quality as the universally accepted optimal endpoints.
"Concomitantly, USM will embrace the protection of the multiple ecosystems, the conservation and restoration of resources as well as the development of human and intellectual capitals for this purpose." (Transforming Higher Education for a Sustainable Tomorrow, 2008)
Tambahnya lagi, "USM will position itself to facilitate the meeting of existing (e.g., Millennium Development Goals) and other future global and universal aspirations towards the upliftment of the billions trapped at the bottom of the socio-economic pyramid."
USM berhasrat menjadi universiti terkenal dunia dalam kelestarian dan menjadi pemimpin dalam isu-isu kelestarian. Fokusnya juga ialah untuk memanfaatkan kekuatan rentas bidang keilmuan yang ada untuk membantu mengubah sosio ekonomi masyarakat terkebawah atau dikenali sebagai "the bottom billion".
Tegas Dzulkifli, "by choosing sustainability-led growth as its destination, USM will embark on numerous transformational journeys, including revamping most of its activities pertaining to nurturing and learning, research and innovation, services, students and alumni and the management of the university as a whole. The university will take steps to improve the three core pillars of its strengths, i.e., concentration of talent, resources and acculturation of supportive governance."
Antara inisiatif yang diambil untuk melaksanakan APEX ialah penubuhan Sains@USM, Sanggar Sains, IXC Sdn. Bhd, Centre for Chemical Biology (CCB) dan Pusat Pemiawaian Herba (CHEST-Centre for Herbal Standardisation).
USM ketika itu telah melantik perunding untuk menjenamakan USM sebagai universiti APEX yang berfokus kepada kelestarian. Antara advokasi yang dibuat ialah perubahan logo USM dan universiti pertama memulakan logotaip pada namanya dan penerangan kepada seluruh warga kampus.
Setelah USM diumumkan sebagai universiti yang dipilih untuk menjalani program APEX, beberapa nilai utama diperkenalkan untuk memastikan kejayaannya iaitu keilmuan, masa hadapan, kelainan, kelestarian, kesejagatan, kemanusiaan, pengorbanan, perubahan dan kesejahteraan.
Antara usaha yang dibuat ialah advokasi penjenamaan USM yang berteraskan kepada kelestarian, membudayakan kelestarian dalam kalangan pelajar melalui Minggu Siswa Lestari dengan fokus mendidik pelajar baharu kepada isu-isu kelestarian, menjenamakan Pusat Kesihatan dan Pergigian sebagai Pusat Sejahtera yang berusaha mewujudkan kesejahteraan kesihatan dan minda warga kampus dan penubuhan Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) sebagai sebuah pusat yang memainkan peranan penting terhadap agenda kelestarian universiti.
USM juga memulakan Program PIMPIN SISWA kepada semua pelajar baharu dengan modul yang menggabungkan usaha melahirkan siswazah yang holistik dan patriotik. PIMPIN adalah singkatan dari Program Intensif Meningkatkan Pengupayaan Insan diadakan di kem-kem di luar kampus selama 3 hari 2 malam, bukan sahaja menekankan kepada interaksi sosial dan perpaduan dalam kalangan pelajar tetapi juga kemahiran insaniah yang diterapkan melalui modul-modul yang dibangunkan terutamanya berkaitan kelestarian khusus untuk meningkatkan kemahiran pelajar.
Selain dari itu, bagi merealisasikan agenda kelestarian, USM mula mengambil masuk lebih ramai pelajar mengikuti pengajian ijazah pertama dari keluarga B40 yang berada di kawasan pedalaman, warga emas malah ada yang mengaku usia 70 tahun untuk mengikuti pengajian, golongan OKU (yang diinterpretasikan sebagai Orang Kelainan Upaya bukan Orang Kurang Upaya) dan warga sukan. Pelajar Cerebral Palsy Tan Chin Chin dinobatkan sebagai pemenang Pingat Emas Canselor pertama dari dalam kalangan OKU. Turut diwujudkan ialah Hadiah Pingat Emas (OKU) dalam Upacara Konvokesyen USM.
Kesan APEX sebagai usaha memperjuangkan kelestarian dan golongan terkebawah "the bottom billion" dapat dirasai dalam kalangan warga kampus apabila perkataan kedua-dua frasa itu bermain di bibir warga USM terutamanya pelajar.
Antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan ialah peristiwa yang berlaku di hadapan saya ketika membayar barang yang dibeli ketika singgah di hentian R&R Gurun dalam perjalanan balik dari Kedah ke Pulau Pinang pada satu petang. Di hadapan saya tiga orang anak muda sedang beratur di kaunter. Petugas di kaunter menawarkan plastik untuk memasukkan barang yang dibeli mereka. Kedengaran seorang dari mereka menjawab, "tak apa mak cik, kami pelajar USM, kami tak guna plastik kerana tidak lestari." Terkejut saya mendengarnya dan sekaligus rasa bangga.
Dalam satu kejadian lain, ketika jamuan Hari Raya di Bangunan Canselori, penyaji terpaksa gunakan bekas plastik untuk mengisi makanan kerana ketika itu tidak banyak pilihan bekas makanan, kebanyakannya plastik dan bekas polistrina.
Ketika jamuan masih berlangsung, seorang pelajar telah menghantar emel kepada Naib Canselor dan salinan kepada saya, menyatakan rasa terkilannya kerana USM masih gunakan bahan plastik dan tidak lestari. Begitu kuatnya semangat kelestarian dalam kalangan pelajar.
Apabila APEX dilaksanakan, Universiti juga menubuhkan Majlis Kelestarian Universiti dan menghasilkan Dasar Kelestarian Universiti di samping menubuhkan Sekretariat Kampus Sejahtera yang melaksanakan usaha kesukarelawanan dan advokasi kelestarian untuk kelestarian.
Pada bulan Jun 2014, lagu tema APEX bertajuk Memacu Kecemerlangan dicipta oleh Azmeer Abu Bakar dan saya menulis liriknya yang menggabungkan nilai-nilai APEX dinyanyikan oleh Andy Siti Nurhidayah Rahim melalui Makmal Penjenamaan APEX di Tasik Banding Perak yang disertai oleh ketua-ketua jabatan USM.
Kemuncaknya ialah kewujudan jawatan Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi yang mula dipegang oleh Profesor Dr. Md. Roslan Hashim mulai 1 Disember 2019 adalah menunjukkan penegasan universiti dalam pembudayaan kelestarian.
Kerana itu, kejayaan Universiti Sains Malaysia menduduki tempat keempat dunia dalam Times Higher Education Global Impact Ranking atau THE GIR 2022 amat bermakna kepada universiti dan negara.
THE GIR melibatkan 1,406 universiti di dunia dari 106 buah negara. Universiti diaudit bukan sahaja tentang kualiti dalam pendidikan seperti penyelidikan dan penerbitan tetapi usaha-usaha menyeluruh lainnya dalam 17 SDG.
Usaha advokasi kelestarian perlu diteruskan, antaranya dengan memastikan tiada lagi penggunaan botol dan bekas atau pembungkus makanan plastik dan polistrina di dalam kampus. Wujudkan dasar dan arahan yang jelas tentang hal ini.
Begitu juga pendidikan dalam kalangan warga USM terutamanya pelajar. Para pelajar perlu memahami prinsip-prinsip asas kelestarian dan nilai-nilai APEX dengan menerapkannya dalam proses kehidupan seharian terutama di Desasiswa dan penganjuran majlis-majlis rasmi.
Ini termasuklah menjaga alam sekitar, penjimatan air dan tenaga, isu-isu kemiskinan, kesan perubahan iklim, keselamatan dan kecukupan makanan dan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam menjalankan inisiatif kelestarian.
Minggu Siswa Lestari perlu diisi dengan lebih banyak kempen kelestarian termasuk menggalakkan penggunaan bekas makanan ketika membeli makanan di kafetaria, botol guna semula untuk mengisi air, penjimatan tenaga dan air serta penanaman pokok untuk mendidik pelajar baharu dengan roh kelestarian.
Kempen-kempen melalui media sosial perlu dibuat secara berterusan untuk tujuan yang sama kerana pendidikan untuk kelestarian sahajalah akan menyediakan asas penting untuk pelajar memahaminya.
Universiti juga aktif dalam membantu golongan B40 sama ada dalam kalangan warganya mahu pun komuniti seluruhnya. Antaranya sejak tahun 70-an USM telah pun menghasilkan projek Ikhtiar yang membantu golongan wanita terutamanya dalam perniagaan sehingga dikembangkan sebagai Program Ikhtiar Malaysia yang dilaksanakan pada peringkat nasional. Projek ini diilhamkan dari Grameen Bank oleh Nobel Laureate Profesor Dr. Muhammad Yunus di Bangladesh. Kemudiannya ditubuhkan pula program Tekun yang juga untuk membantu membasmi kemiskinan.
Ketika awal program APEX USM turut perkenalkan program Mikro-Pinj yang mengutip dana dari warga kampus terutamanya para profesor dan akademia untuk pinjaman mudah kepada staf kumpulan sokongan untuk memulakan perniagaan sambilan.
Malah semasa pandemik COVID-19, warga USM menyumbang lebih RM1 juta kutipan dana melalui potongan gaji untuk membantu pelajar dan warga yang terkesan.
Kini Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat USM telah membantu ramai kumpulan B40 dalam memajukan ekonomi mereka hingga ke pasaran antarabangsa, membantu lebih 1,000 orang pelajar yang terkesan dengan pandemik COVID-19 untuk mencapai kejayaan dan dibimbing hingga ke universiti serta bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk membangunkan komuniti secara berterusan.
APEX dan idea kelestarian akan terus menjadi nadi pembangunan USM dalam jangka panjang dan diharapkan dapat mengekalkan kedudukannya sebagai sebuah "Sustainability-Led University".
- Created on .
- Hits: 4622