USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

32 PTJ USM CAPAI 5 BINTANG DALAM PENGURUSAN ASET

USM 5447

USM PULAU PINANG, 20 Sept. 2022 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pegawai aset atas sumbangan besar mereka.

"Saya ingin cadangkan semua yang mencapai taraf 5 bintang diberi keutamaan dalam program latihan staf termasuk Program Latihan Pentadbir atau Administrative Outreach Programme (AOP) yang menghantar staf mengikuti program latihan termasuk ke luar negara sebagai insentif," kata Faisal Rafiq.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Sesi Anugerah Penarafan Aset Lima (5) Bintang Pengurusan Aset Universiti Tahun 2022 kepada Pusat Tanggungjawab di Kampus Induk, Kejuruteraan dan IPPT.

Sesi ini adalah sebagai persediaan USM menempuh Fasa 3 Pengurusan Aset Universiti yang akan bermula pada Oktober 2022 yang dikendalikan oleh Bahagian Kelestarian dan Pembangunan Institusi (BKPI).

Naib Canselor menegaskan dalam pengurusan aset, kita tidak perlu tuding jari kepada sesiapa sebaliknya mengambil langkah-langkah yang perlu untuk melakukan penambahbaikan dan tindakan drastik yang boleh membantu meningkatkan kecekapan.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi, Profesor Dr. Md. Roslan Hashim berkata, fokus utama ialah menyelesaikan masalah pertanggungjawaban dan amanah dalam pengurusan aset.

"Pengurusan aset secara bersepadu telah bermula sejak 2020. Sebanyak 32 PTJ mencapai penarafan 5 bintang," kata Md. Roslan.

USM berhasrat untuk semua PTJ USM mencapai taraf 5 bintang dalam pengurusan aset pada Januari 2023. Semua PTJ yang berada pada tahap 4 bintang ke bawah akan dibantu dan PTJ yang mencapai 5 bintang akan menjadi mentor untuk tujuan tersebut.

Antara PTJ yang menerima penarafan 5 bintang pada tahun 2022 ialah Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan, Pusat Pengajian Pengurusan, Dewan Budaya, Pusat Pengajian Teknologi Industri, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset, Pusat Kajian Kelestarian Global, Pusat Islam, Pusat Racun Negara, Pusat Pengajian Sains Matematik, Pusat Penyelidikan dan Perkhidmatan Haiwan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Pusat Biologi Kimia, Pusat Pengajian Sains Kimia, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Unit Rawatan Harian IPPT, Unit Perubatan Nuklear IPPT, Unit Farmasi IPPT dan Seksyen Pengurusan Haiwan IPPT.

PTJ lain termasuk Unit Pembekalan Steril IPPT, Unit Rawatan Rapi IPPT, Makmal Diagnostik Termaju IPT, Dewan Bedah IPPT dan Seksyen pengurusan IPPT, Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset Kampus Kejuruteraan, Jabatan Bendahari Kampus Kejuruteraan dan Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi.

Anugerah khas diberikan kepada PTJ yang mencapai markah tertinggi dalam audit pengurusan aset iaitu Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Unit Pergigian IPPT dan Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 856

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024