USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENTERJEMAHAN BANTU PEMBANGUNAN NEGARA

usmtran

PULAU PINANG, 28 Ogos 2013 –Aktiviti penterjemahan telah bermula sejak zaman kegemilangan Melaka lagi dengan pengaruh Arab dan Cina. Dengan ini, perkembangan bahasa yang pesat membantu membangunkan negara serta dalam perkembangan ilmu.  Untuk meneruskan dan juga memartabatkan proses penterjemahan ini, pendidikan dan latihan yang berterusan dapat membantu pakar-pakar atau jurubahasa memperkembangkan lagi bidang ini.

Sehubungan itu, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Bahagian Bahasa Malaysia, Terjemahan dan Interpretasi, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) diberi penghormatan menganjurkan Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-14 (PPA-14) dan juga Forum Penterjemahan Asia FIT-7 (ATF-7) di Hotel Parkroyal.

“Sokongan haruslah diberikan kepada usaha-usaha menterjemah karya tempatan untuk diperkenalkan ke arena antarabangsa. Ini adalah perlu bagi menjayakan agenda pengantarabangsaan sekaligus untuk pembangunan nasional,” kata Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dalam ucapan dasar dan perasmian persidangan tersebut.

USM terpilih menganjurkan ATF-7 adalah kerana USM satu-satunya universiti yang menawarkan sarjana muda terjemahan dan interpretasi di negara ini dan menjadi pelopor bidang pengajian penterjemahan.

Menurut Pemangku Presiden International Translator’s Federation (FIT), Henry-Liu, latihan yang berterusan adalah sangat penting dan beliau menyarankan semua yang terlibat dengan PPA-14 dan AFT-7 untuk menjadi ahli FIT dan aktif dalam semua aktiviti yang dijalankan.

Dengan tema Pendidikan dan Latihan Penterjemahan dan Jurubahasa: Inovasi, Penilaian dan Pengiktirafan, persidangan ini disertai oleh lebih 330 peserta daripada 26 buah negara termasuk Taiwan, New Zealand, Sepanyol dan United Kingdom.

Pada majlis yang sama turut dilancarkan lima buah buku, tiga daripadanya adalah terjemahan terbitan usahasama USM dengan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) iaitu Penterjemahan (Translation), Pengajian Penterjemahan Deskriptif dan Jangkauannya (Descriptive Translation Studies and Beyond) dan Kejurubahasaan Komuniti Merentasi Sempadan (Crossing Borders in Community Interpreting). Manakala dua lagi adalah Asas Terjemahan & Interpretasi terbitan Penerbit USM dan Interpretasi, Kejurubahasaan & Jurubahasa (Dewan Bahasa dan Pustaka).

Turut hadir ialah Presiden Persatuan Penterjemahan Malaysia, Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan, Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron, Dekan PPIK, Profesor Madya Hajar Abdul Rahim serta Pengarah PPA-14 dan ATF-7, Profesor Madya Dr. Hasuria Che Omar.  Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Yong Check Yoon

  • Created on .
  • Hits: 1224

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024