SEMBILAN PRINSIP EKOSFERA KEJAYAAN PERNIAGAAN
Pulau Pinang, 23 Ogos -Ahli perniagaan terkemuka Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer Ali Mydin menyenaraikan sembilan prinsip utama ekosfera perniagaan yang berjaya.
“Jangan menyesal terhadap setiap keputusan yang dibuat dalam hidup kita dan yang terpenting ialah ingat kepada sembilan prinsip mudah untuk kekal dalam perniagaan,” kata Ameer Ali Mydin dalam Ucap Utama penerimaan Anugerah Tokoh Perniagaan atau Business Person of the Year yang diberikan oleh Asian Academy of Management (AAM) di sini.
Prinsip pertama ialah “percaya kepada diri sendiri dan dengar kata hati dan berfikir menggunakan akal fikiran.”
Kedua, seseorang itu perlu jujur kepada diri sendiri dan kepada mereka yang menjadi majikan kita.
“Apabila saya ingin membuka hypermarket pertama Mydin di USJ Subang Jaya tidak ada bank yang ingin memberikan pinjaman selain dari AmBank yang ketika itu dikenali sebagai Arab-Malaysian Merchant Bank kerana menurut Tan Sri Azman Hashim, dia mengingati saya sebagai seorang pekerja yang bekerja keras dan ikhlas,” katanya.
Lebih 150 peserta dari dalam dan luar negara yang hadir Persidangan Antarabangsa Akademi Pengurusan Asia 2013 atau Asian Academy of Management International Conference 2013 selama dua hari yang bertemakan Fostering an Innovative Ecosphere for Business Strategy yang dianjurkan bersama Pusat Pengajian Pengurusan dan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Sains Malaysia (USM).
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd itu juga turut dianugerahkan Asian Academy of Management Life Membership bersama-sama Pengerusi Bank Rakyat Tan Sri Sabbaruddin Chik, Pengarah Urusan Bank Rakyat Datuk Mustafha Abd. Razak dan Ketua Eksekutif SME Corporation Dato’ Hafsah Hashim.
Prinsip ketiga ialah sentiasa berfokus dan mempunyai matlamat dalam apa yang ingin dilakukan.
“Apabila melakukan perniagaan seseorang itu perlu berfokus dan menetapkan matlamatnya, misalnya apabila saya memulakan perniagaan pertama di jalan Mesjid India, Kuala Lumpur saya mengawal setiap perbelanjaan dan melakukan semua tugas utama kerana hanya dengan melalui sesuatu proses yang berlaku, kita akan menjadi pengusaha yang serba boleh dan tidak boleh ditipu,” katanya.
Keempat, beliau menasihatkan para peserta agar tidak mengejar wang dan kemasyhuran kerana ia akan datang sendiri apabila kita berhak untuk mendapatnya serta ingat bahawa bekerja keras tidak pernah merosakkan seseorang.
Kelima, perlu untuk menjaga pekerja dengan jiwa dan hati nurani kerana mereka akan menjaga pelanggan juga dengan hati nurani.
Keenam, katanya lagi, ialah tidak mudah berputus asa dan takut melakukan kesilapan dalam hidup.
Beliau turut menasihatkan para peserta agar sentiasa berkongsi pengalaman, kepakaran dan minat dengan sesiapa sahaja kerana hidup amat sunyi apabila bersendirian. Dengan cara itu juga seseorang akan dapat berkembang maju dan banyak belajar sesuatu melalui perkongsian yang dibuat.
Beliau turut menyeru agar seseorang itu jangan sama sekali melupakan asal usulnya.
“Jangan lupa asal usul, di mana kita dan ibu bapa kita berasal serta sentiasa ingat warisan budaya yang ada kerana itulah yang menjadikan kita dan membentuk perwatakan yang ada kerana seseorang tanpa budaya adalah seseorang tiada wajah dan perwatakannya,” tegas Ameer Ali Mydin.
Prinsip yang terakhir beliau ialah “jangan lupakan ibu bapa, bagaimana mereka membesarkan kita dan bagaimana mereka menghadapi segala cabaran sehingga kita mencapai kejayaan pada hari ini.”
“Sesibuk mana pun kita, satu panggilan telefon memadai untuk menyatakan kasih sayang dan perhatian kita, malah berusahalah untuk menziarahi mereka kerana putaran hidup ini menunjukkan bahawa di mana kita sekarang ini bermula dari kira-kira 30 tahun lalu manakala 30 tahun yang akan datang sebenarnya bermula dari sekarang, tentang bagaimana kita menunjukkan contoh tauladan kepada mereka yang ada sekarang,” tegas beliau.
Hadir sama di majlis ini ialah Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar) USM Profesor Dr. Adnan Hussein yang mewakili Naib Canselor, Pengerusi Lembaga Pengarah Tien Wah Press Holdings Berhad, YM Tengku Tan Sri Dr. Mahaleel Tengku Arif, Presiden AAM Profesor Madya Dr. Zamri Ahmad dan ahli-ahli Lembaga AAM yang lain. Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 3051