APEL BANTU REALISASI HASRAT SAMBUNG PENGAJIAN KE IPT
USM PULAU PINANG, 13 Sept. 2022 – Rakyat Malaysia menyambut baik pelaksanaan Program Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (Accreditation of Prior Experiential Learning, APEL) yang dibangunkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sejak ia diperkenalkan bermula tahun 2011.
Demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Profesor Dato' Mohamad Shatar Sabran dalam sesi Perkongsian Ilmu 'Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL)’ yang diadakan hari ini di Dewan Persidangan Universiti (DPU), di sini.
Menurut beliau, sejak ia diperkenalkan, APEL berjaya membantu ramai golongan pekerja tanpa kelayakan akademik, memanfaatkan pengalaman dimiliki untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).
“Sehingga hari ini, tiga jenis APEL sudah diperkenalkan oleh MQA iaitu APEL.A untuk akses kemasukan ke IPT, APEL.C bagi pemindahan kredit dan APEL.Q untuk penganugerahan kelayakan akademik terus berdasarkan pengalaman individu.
“Saya berharap melalui sesi perkongsian ini, dapat mempromosikan APEL supaya lebih ramai yang dapat memanfaatkan pelaksanaan APEL sebagai laluan alternatif untuk menyambung pengajian.
“Tambahan pula, pelaksanaan APEL sememangnya menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat negara,” ujarnya.
Terdahulu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato' Gs. Dr. Narimah Samat dalam ucapan aluannya, mengucapkan terima kasih kepada MQA yang telah mewujudkan ruang bagi memberi peluang kepada mereka yang mempunyai pengalaman kerja tetapi kurang atau tidak memiliki kelayakan akademik untuk menyambung pengajian di IPT melalui program APEL ini.
Turut hadir ke program anjuran Bahagian Akademik dan Antarabangsa USM itu ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Profesor Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari; dan Pengarah Kanan, Pembangunan Dasar dan Kepakaran MQA, Mohamad Dzafir Mustafa.
Teks: Nurhidayah Shahbuddin
- Created on .
- Hits: 1653