USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TNC KPI: AGENDA KELESTARIAN@USM PERLU DITERUSKAN DENGAN KERJASAMA DAN KOMITMEN SEMUA PIHAK

USM PULAU PINANG, 14 Sept. 2022 – “Walaupun Universiti Sains Malaysia (USM) telah mencapai kedudukan terbaik setakat ini, agenda kelestarian perlu diteruskan dengan kerjasama dan komitmen dari semua,” ujar Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi (KPI) USM, Profesor Dr. Md Roslan Hashim.

2E8C5882 C738 487A 9FD3 5E3014E963A0

Beliau berkata demikian di Taklimat Sustainability@USM, yang diadakan di Dewan Persidangan Universiti (DPU) hari ini, dan disertai oleh Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai Kelestarian yang telah dilantik di setiap PTJ.

Tambah Md Roslan, USM telah berusaha untuk memastikan setiap aspek berkaitan kelestarian dilaksanakan sebaik mungkin, dan diharapkan akan menjadi amalan berterusan semua warga universiti.

“Semua pihak diharap dapat lebih peka dan proaktif kerana dengan pencapaian USM yang terkini, USM hanya perlu ‘bersaing dengan diri sendiri’ dalam memastikan pencapaian tersebut terus kekal atau dipertingkatkan di kemudian hari,” katanya.

Terdahulu, Profesor Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei, selaku Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) telah memberi penerangan ringkas berkaitan pencapaian USM, dengan memberi tumpuan ke arah usaha-usaha kelestarian berdasarkan 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang telah dibangunkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Beliau memberi contoh kejayaan USM terpilih di tempat ke-4 dunia, dari kalangan 1,406 institusi yang bersaing dalam ranking THE-GIR (Times Higher Education-Global Impact Rankings) lalu, selain menekankan keperluan untuk merekod dan mengumpulkan data berkaitan segala amalan kelestarian yang telah dilaksanakan.

Beliau juga menyentuh bagaimana USM telah bersedia dari awal lagi dalam usaha menerapkan amalan kelestarian. Segala usaha kini dapat dirujuk dari Perlembagaan USM, Visi dan Misi, Matlamat, Halatuju dan Polisi-polisi Berkaitan.

Mohd Wira juga memberi contoh penjimatan tenaga elektrik yang akan dinikmati USM melalui usaha pemasangan panel suria (photovoltaic solar panels) terkini di sekitar kampus induk USM.

7B4BF2BC 7423 4023 9637 D28574ECA76B

“Dianggarkan sebanyak RM3 juta setahun mampu dicapai dari segi penjimatan sebaik sahaja sistem beroperasi sepenuhnya. Begitu juga dari usaha kelestarian dan penjimatan di kampus-kampus cawangan lain,” ujarnya.

Ini diikuti oleh penerangan dari Penyelaras Kampus Sejahtera, Dr. Normaliza Abdul Manaf, yang berkongsi maklumat tentang ‘Kampus Sejahtera’.

Menurutnya, ‘Kampus Sejahtera’ adalah satu rangka kerja yang menjalankan serta menyokong segala usaha warga USM ke arah mewujudkan suasana penuh kelestarian dari pelbagai aspek di dalam kampus USM, dengan matlamat akhirnya adalah untuk merealisasikan hasrat menjadikan USM sebagai universiti kelestarian terpimpin bertaraf dunia.

Beliau juga menekankan keperluan para Pegawai Kelestarian yang dilantik agar dapat dibantu serta membantu PTJ masing-masing menjadikan amalan kelestarian sebagai satu budaya di tempat kerja.

08682A1F A579 40A6 A736 1E629AF7CA6E

“Baik dari segi penjimatan air dan tenaga, kaedah pembuangan sampah atau usaha kitar semula, penjimatan penggunaan mahupun pembelian peralatan pejabat serta usaha-usaha berkaitan kelestarian yang lain, kesemuanya perlu dipraktikkan secara berterusan.

“Penarafan ‘Green Office/Green Desa’ juga sedang dirancang bagi mengiktiraf PTJ atau jabatan yang telah melaksanakan amalan kelestarian di premis masing-masing secara menyeluruh,” kata Normaliza.

Sesi taklimat turut disertai para Dekan, Pengarah, Ketua Jabatan, Pegawai Kelestarian serta pegawai universiti terbabit.

Teks: Mazlan Hanafi Basharudin

  • Created on .
  • Hits: 575

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024