HARI MALAYSIA DISAMBUT PENUH KESYUKURAN WARGA USM
USM PULAU PINANG, 16 Sept. 2022 – Seluruh warga Universiti Sains Malaysia (USM) diseru supaya terus berada dalam keadaan aman dan sejahtera serta menjaga kesihatan dan keselamatan diri dalam suasana meraikan Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.
Demikian ujar Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan yang menyeru agar semua warga USM terus berada dalam keadaan gembira dalam menyambut Hari Malaysia pada tahun ini walau di mana anda berada.
“Saya turut ingin berpesan kepada seluruh warga USM untuk terus bersatu padu dan memahami erti dan konsep keharmonian hidup bersama dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan juga budaya.
“Ini perlu dihadapi oleh semua dalam memastikan negara terus terpelihara melalui sikap seluruh rakyat Malaysia yang lebih bertanggungjawab apatah lagi dalam kalangan seluruh warga USM yang seharusnya memikul tanggungjawab tersebut dengan sentiasa amanah dan jujur dalam melaksanakan tugasan untuk universiti dan negara tercinta,” kata Faisal Rafiq.
Beliau mengucapkan selamat menyambut Hari Malaysia 2022 kepada semua warga USM dalam kalangan pelajar mahupun stafnya serta juga para alumninya di seluruh dunia.
“Saya juga yakin seluruh warga USM termasuk para pelajar akan sentiasa memastikan perjuangan diteruskan dalam usaha menjamin negara supaya terus aman dan makmur,” katanya lagi.
Naib Canselor turut mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi penghargaan atas jasa, khidmat bakti dan pergorbanan yang dicurahkan oleh setiap warga universiti dalam bersama-sama melonjakkan nama USM di persada dunia dengan pelbagai pencapaian dan kejayaan yang diperoleh, serta mengajak warga universiti untuk lebih cekal dan kental serta bersedia menghadapi segala cabaran dan kemungkinan mendatang.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 400