USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TANDATANGAN MOU DENGAN MICROSOFT MALAYSIA TINGKAT USAHA MENJADI HUB LATIHAN DIGITAL ANTARABANGSA

USM PULAU PINANG, 15 Sept. 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) berhasrat menjadi hub latihan digital antarabangsa untuk pendidik-pendidik melaksanakan pembelajaran abad ke-21 melalui bantuan teknologi digital Microsoft sekaligus menyokong Industrial Revolution 4.0. (IR 4.0).

CBF7B7AB BF5B 400B 9E9D BCDE0F9AA9C5

Untuk itu USM pada hari ini menandatangani persefahaman dengan Microsoft Malaysia untuk bekerjasama memperkasakan kompetensi digital dalam kalangan pensyarah dan pada masa yang sama menerokai peluang meningkatkan pengalaman pendidikan digital dalam kalangan pelajar.

Microsoft Malaysia telah pun memberikan status Global Training Partner kepada USM dan menjadi satu-satunya Universiti yang mendapatkan pengiktirafan sedemikian.

Dokumen ditandatangani oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dan Pengarah Urusan Microsoft Malaysia Sdn. Bhd., K. Raman G. Kesawannair dengan disaksikan oleh Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Profesor Madya Dr. Rahimi Che Aman dan Edu Lead Microsoft Malaysia Sdn. Bhd. Norshahida Zainal Abidin.

Naib Canselor mengucapkan tahniah atas pengiktirafan yang diterima oleh Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan terhadap kepakarannya dalam memacu transformasi pendidikan digital melalui Microsoft Education Transformation Framework (ETF).

"Semasa pandemik COVID-19, USM telah berkolaborasi dengan Microsoft Malaysia dalam pelbagai projek termasuk melatih guru-guru untuk mengintegrasi teknologi Microsoft dalam memajukan proses pengajaran dan pembelajaran di kawasan pedalaman," kata Faisal Rafiq.

Tambahnya, ini termasuk mengadakan program Minecraft semasa cuti sekolah yang berupaya meningkatkan kemahiran abad ke-21 melalui "game-based learning".

Ekoran kejayaan itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah melantik USM dan National Science Learning Week 2022 untuk mengendalikan pertandingan Minecraft untuk meningkatkan proses kemahiran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

"Saya percaya melalui kerjasama ini, akan mendorong lebih ramai ahli akademik mengambil bahagian dalam pendigitalan pendidikan negara dan mendapat pengiktirafan dan pentauliahan sewajarnya," katanya lagi.

Pada masa ini, tiga orang pensyarah USM telah diberi pentauliahan sebagai "Microsoft Innovative Educator Experts."

Teks: Mohamad Abdullah/Poster: Muhamad Ihsan Abu Bakar

  • Created on .
  • Hits: 596

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024