USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENANG EXCHANGE SASAR 30 RIBU PENGUNJUNG: MEDAN MEMARTABATKAN ARTISAN KRAF TEMPATAN

DSC03375

PULAU PINANG, 13 September 2022 – Penang Exchange 2022, satu acara unik yang mengangkat industri kraf dan memartabatkan artisan-artisan tempatan buat julung kalinya dibawakan ke Pulau Mutiara dengan sasaran 30,000 pengunjung meraikannya.

Program yang masuk edisi ketiga penganjurannya itu turut bermatlamat untuk memelihara warisan budaya dan mempromosikan keunikan seni di Malaysia, dan ia akan berlangsung dari 30 September hingga 2 Oktober depan.

DSC03263

Presiden Pertubuhan Kraf Kebangsaan (MCC), Nik Faiz Nik M. Amin berkata, Penang Exchange adalah kesinabungan kepada kejayaan dua edisi terdahulu iaitu Kelantan Exchange, dan ia datang ke Pulau Pinang dengan semangat dan semarak untuk membudayakan warna-warni Malaysia.

“Kita memilih Pulau Pinang kerana negeri ini terkenal dengan kepelbagaian dan kaya dengan kemeriahan warna-warni harmoni kepelbagaian bangsa dan budaya. Ia mewakili keindahan Malaysia itu sendiri,” ujarnya dalam sidang media di sini baru-baru ini.

Tambah Nik Faiz, MCC turut mengambil peluang melalui program sebegini untuk menjadi suara mewakili para artisan dan memberi gambaran tepat tentang senario atau cabaran dalam industri.

“Pada masa yang sama, program ini turut berhasrat untuk menghapuskan sebarang bentuk manipulasi atau monopoli ekonomi oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan kepupusan beberapa warisan kraf negara," ujarnya.

DSC03307

Tambahnya, di samping memelihara warisan, acara itu turut bermatlamat mendidik, memupuk dan mewujudkan kesedaran yang luas tentang keunikan hasil kraf tempatan.

“Ia juga diharapkan dapat menjadi satu platform atau pentas inklusif buat artisan tempatan memposisikan diri mereka dan berhubung dengan golongan masyarakat atau audien yang tepat, tanpa hanya bergantung harap kepada pihak lain,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai Penang Exchange, beliau berkata, ia adalah anjuran MCC dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM), Kementerian Pelancongan, Seni, & Kebudayaan (MOTAC) Pulau Pinang, Tourism Malaysia, Yayasan Jepun, British Council, Penang Peranakan Mansion, Think City Pulau Pinang, Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta beberapa agensi di bawahnya.

DSC03275

Tambah beliau, penganjuran pada tahun ini akan berlangsung di tiga lokasi berbeza dengan Think City sebagai pusat aktiviti induk sepanjang program yang mempamerkan hasil kraf para artisan yang turut dibuka untuk jualan.

Di samping itu, turut dimuatkan adalah program berbentuk seminar dan bengkel berkaitan kraf serta industri, dan disertai acara The Street Food Fiesta di sepanjang jalan di luar bangunan.

Lebih menarik, pihak pengajur turut membawakan Konsert Khas Teater P.Ramlee: Demi Hidup, Cinta & Inspirasi pada 30 September 2022 di Dewan Budaya USM, dengan penampilan khas teraju utama, Arja Lee dan Farhan Azizan.

Nik Faiz juga berkata, mereka yang berminat untuk mendapatkan tiket program boleh melayari di laman web: https://pe22.doceo.my/ dan beliau berharap dengan penganjuran ini dapat mewujudkan kelestarian serta menyemarakkan lagi industri kraf negara.

Teks: Nurul Huda Abdullah/Suntingan Marziana Mohamed Alias/Foto: Nor Amin Zainal Kamarudin

  • Created on .
  • Hits: 752

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024