180 ATLET BERSAING JULANG NAMA USM DI SUKUM KE-44
USM PULAU PINANG, 12 Sept. 2022 – Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) buat kali ke-44 bakal membuka tirai dengan penyertaan 180 atlet dari kontinjen Universiti Sains Malaysia (USM) yang komited merebut pingat yang dipertandingkan.
Sukan berprestij antara universiti yang bakal berlangsung pada 17 sehingga 24 September 2022 itu akan dihoskan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dan bakal menyaksikan semangat juang tinggi staf-staf USM menyertai tujuh daripada keseluruhan acara yang dipertandingkan iaitu futsal, petanque, ping pong, bola sepak (veteran), olahraga, berbasikal dan boling tenpin.
Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, beliau amat mengharapkan kontinjen USM yang terlibat mempunyai disiplin dan semangat juang tinggi serta bertarung sebaik mungkin demi menjulang nama USM.
"Saya mendoakan kontinjen USM mampu mencapai sasaran kali ini dengan membawa pulang lebih banyak pingat emas berbanding pada kejohanan lalu yang diadakan di Universiti Malaysia Pahang (UMP),” katanya.
Tambah Faisal Rafiq, beliau yakin dengan kemampuan staf-staf yang telah terpilih ini bagi menggalas tanggungjawab dan menyeru untuk saling menyokong antara satu sama lain bagi acara-acara sukan yang disertai USM.
“Saya mahukan atlet-atlet USM menunjukkan contoh adab dan disiplin yang tinggi, patuh pada arahan dan peraturan sehingga mampu melangkah ke peringkat akhir kejohanan, sekaligus mengangkat nama USM terpahat sebagai antara universiti terbaik bertanding di penghujung kejohanan nanti,” katanya ketika hadir di majlis Penyerahan Bendera Kejohanan SUKUM 2022 kali ke-44.
Pada edisi sebelumnya, kontinjen USM terus menjadi pencabar utama dalam temasya sukan tahunan ini dan mengekori rapat pungutan pingat keseluruhan di belakang juara bertahan Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), dengan hasil kutipan 17 emas, 11 perak dan 17 gangsa.
Dalam majlis yang sama, Pengarah Kampus Kejuruteraan USM merangkap Ketua Kontinjen SUKUM 2022, Profesor Dato' Dr. Nor Azazi Zakaria berkata, penyertaan USM kali ini dilihat berpotensi tinggi menyumbangkan pungutan pingat emas kepada kontinjen.
"Daripada 97 pingat emas dipertandingkan, 26 pingat emas menjadi sasaran USM untuk dibawa pulang dan menjadi harapan USM buat kontinjen kali ini untuk bersaing dengan semangat kesukanan yang tinggi dan berjaya mencapai apa yang disasarkan," kata Nor Azazi.
Katanya lagi, atlet-atlet perlu berusaha dan berjuang bersungguh-sungguh terutamanya ikhlas memupuk semangat cintakan universiti dengan memperoleh kejayaan di sana kelak.
Pada majlis tersebut, Naib Canselor turut menyerahkan bendera kejohanan kepada Nor Azazi sebagai simbolik lantikan Ketua Kontinjen SUKUM ke-44, termasuk penyerahan bendera kepada ketua-ketua pasukan bertanding.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi USM, Profesor Dr. Md Roslan Hashim; Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM merangkap Ketua Urusetia Kontinjen SUKUM 2022, Tuan Hj. Idrus Hj. Rapie; wakil Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff, serta para pegawai utama universiti.
Pada edisi kejohanan SUKUM 2018 ke-43 yang lalu, USM berjaya berada di kedudukan kedua dari keseluruhan universiti bertanding apabila berjaya menggondol 17 emas, 11 perak dan 17 gangsa.
Pingat emas USM dituai dari hasil kemenangan acara sukan Olahraga (8), Ping Pong (4), Petanque (3) manakala 2 emas lagi disumbangkan oleh pasukan Lumba Basikal dan Bergu Badminton Veteran.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Shahnizam AB Rahim
- Created on .
- Hits: 530