NC USM RASMI PAMERAN UNIK ‘PRINT AESTHETICS: CONSUMING THE TANAH AIR’ DI MGTF
USM PULAU PINANG, 3 Sept. 2022 – Dalam mencipta suatu suasana dialog antara konsep Tanah Air, suasana dan pancainderanya dengan artifak muzium serta reaksi pengunjung, Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan satu pameran yang amat unik bertajuk Pameran ‘Print Aesthetics: Consuming the Tanah Air’.
Ini adalah hasil cetusan idea Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican dari Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM).
Ahmad Murad yang pernah berkhidmat di Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) USM, dan selepas itu menjawat jawatan Profesor Kunjungan, telah mempamerkan sejumlah 40 kolum surat khabarnya yang bertemakan Tanah Air.
Bergandingan dengan seorang lagi tokoh kesenian yang disegani, iaitu Pengarah MGTF, Profesor Madya Hasnul Saidon, pameran itu adalah hasil advokasi kesarjanaan yang menggemblengkan elemen-elemen sains, seni, estetika dan imaginasi, yang sepatutnya ada pada setiap ahli akademik dalam membudayakan atau mempopularkan seni dan sains melalui muzium.
Satu ciri unik pameran itu ialah ia meminta kita menggunakan pancaindera kita iaitu penglihatan, pendengaran, bauan, dan rasa lidah; menggunakan ruang muzium untuk mencabar ideologi penjajahan; menggandingkan imej sejarah dan artifak moden; dan merakam reaksi dari pengunjung.
Pameran tersebut telah dirasmikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan pada 18 Ogos 2022 lalu di MGTF, USM.
Menurut Faisal Rafiq, dalam ucapan perasmiannya, sarjana dan kesarjanaan bersinonim dengan sesebuah universiti yang mana selain dari mengajar, menyelia, menyelidik dan menerbit, fungsi seseorang akademik yang mengimpikan kerjaya sebagai seorang sarjana ialah meluaskan dirinya dalam konteks advokasi.
“Kita dapat mendengar alunan muzik yang menyusupkan jiwa Tanah Air yang bertujuan menggambarkan perasaan interaksi kita dengan suasana dengan rasa, rupa dan jiwa kosmologi dan kewartawanan Kepulauan Melayu yang kita bermastautin sekarang ini,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Murad dalam ucapan alu-aluannya berkata, ini merupakan pamerannya yang pertama iaitu sebuah projek yang memberi perspektif baru kepada nilai visual.
“Halaman surat khabar bukan hanya teks dan tipografi untuk dibaca tetapi untuk dilihat, ditatapi dan ditelaah sebagai visual dan jalinan teks dengan gambar atau ilustrasi bersama sentuhan tajuk kolum dan petikan membawa kita kepada satu ruang geografi imaginasi, sudut dan lautan sejarah antara tanah dan air, merentasi masa dan tempat.
Orang ramai dijemput untuk hadir ke MGTF untuk mengalami dengan sendiri keunikan pameran ini mulai 18 Julai sehingga 17 September 2022.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/ Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 424