UKAS JPM PERINCIKAN KERJASAMA AWAM SWASTA UNTUK UA
USM PULAU PINANG, 6 Sept. 2022 – Selaras dengan fungsi, misi dan visi Pejabat Perundangan Universiti (PPU), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Program Sesi Taklimat dan Soal Jawab berkaitan Public-Private Partnership (PPP) dan Private Finance Initiative (PFI), model Kolaboratif Transformatif untuk Universiti Awam Malaysia.
Taklimat itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Khairus Masnan Abdul Khalid.
Sesi taklimat itu bertujuan untuk memberikan maklumat dan pemahaman yang lebih mendalam berkenaan Request for Proposal (RFP), PPP dan PFI mengikut landasan undang-undang yang betul dan dalam konteks yang diluluskan oleh UKAS.
USM berminat untuk meneroka idea-idea inovatif seperti model gaji pengguna untuk mengalihkan beban kewangan daripada kerajaan, dan USM amat menyokong daya usaha inisiatif dari pihak UKAS dalam memperkemaskan dan memperincikan kelulusan sesuatu projek usahasama kerajaan dan swasta.
Menurut Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi USM, Profesor Dr. Md Roslan Hashim dalam ucapan aluannya, projek pembangunan secara kerjasama awam swasta adalah inisiatif yang signifikan dilaksanakan dalam mengimbangi peruntukan kerajaan dengan penglibatan pihak swasta berkaitan pelaksanaan sesuatu projek.
“Dalam usaha mengekalkan kelestarian dalam pelbagai aspek dan inisiatif baharu, USM telah dinobatkan ranking keempat dunia bagi kelestarian dalam the Times Higher Education University Global Impact Ranking bagi tahun 2022,” katanya.
Md Roslan berharap agar tatacara dan garis panduan ini dapat memberi impak dan ketetapan dasar yang selari dalam pelaksanaan projek yang melibatkan wang awam dan harta kerajaan amnya.
Sementara itu, Khairus Masnan berkongsi tentang tatacara dan prosedur terkini dalam urusan pengurusan projek pembangunan secara kerjasama awam swasta atau PPP.
Beliau memberikan penerangan dan pemahaman yang lebih mendalam berkenaan struktur dan terma rujukan untuk RFP, PFI dan PPP agar USM dapat melaksanakan projek seumpama ini dalam landasan undang-undang yang betul.
Turut hadir sama ke sesi taklimat itu adalah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azlinda Azman; Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dato’ Dr. Nor Azazi Zakaria; Pengarah Pembangunan Strategik Korporat, Muhammad Sabri Said dan Penasihat Undang-undang USM, Dr. Khairul Anuar Che Azmi.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 784