MASALAH MANUSIA HARUS DISELESAIKAN DENGAN SAINS DAN TEKNOLOGI
PULAU PINANG, 26 Ogos 2013 – “Setiap permasalahan yang dihadapi oleh manusia perlu diselesaikan dengan sains dan teknologi,” kata Timbalan Menteri Sains dan Inovasi, Kementerian Sains dan Teknologi (MOSTI), Datuk Dr. Abu Bakar Mohd Diah sempena majlis pelancaran Seminar Kebangsaan Teknologi Makmal ke-11 2013 (SKETMA 2013).
Abu Bakar yang juga bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) pernah membentangkan kertas kerja di seminar yang sama beberapa tahun dahulu. Menurut beliau, seminar seperti ini adalah platform untuk staf makmal membentangkan kertas kerja di dalam pelbagai bidang.
“Perubahan dan perkembangan sains dan teknologi sangat memberangsangkan, pada hari ini juga kita dapat melihat pelbagai teknologi digunakan walaupun untuk menganjurkan seminar seperti ini,” tambah Abu Bakar.
Tegasnya, yang penting ialah hasil penyelidikan dalam bidang sains dan teknologi haruslah dikomersialkan kerana kita telah membuat pelaburan besar untuk inovasi dan penyelidikan. Beliau juga berkata pada tahun hadapan MOSTI akan lancar Tahun Inovasi Hasil Produk Penyelidikan dan mensasarkan sebanyak 360 penyelidikan dikomersialkan dan dijual di kedai dan pasaraya.
SKETMA dianjurkan dua tahun sekali dan penganjurannya adalah di kalangan persatuan staf-staf makmal di Institut Pengajian Tingga Awam (IPTA) secara bergilir-gilir. Pada kali ini, SKETMA di anjurkan oleh Persatuan Staf Makmal USM yang diketuai oleh Mohd Nizam Bakar.
Menurut Nizam, tema seminar kali ini ialah Mentransformasi Teknologi Makmal dalam Menzahirkan Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi Saintifik. Beliau berkata, dengan usaha semua staf makmal dan kerjasama yang diberikan oleh pihak IPTA, seluruh minda dan kudrat dapat digembleng untuk memacu kemajuan dan kecemerlangan Negara. Beliau tidak menafikan bahawa sains dan teknologi juga menjadi kay8u pengukur kepada sesebuah Negara dinobatkan sebagai Negara maju.
Lebih 279 peserta hadir dari 11 universiti dan 7 wakil Agensi Nuklear Malaysia. Kira-kira 50 pembentangan poster dan kertas kerja serta 25 pembentangan lisan diadakan pada SKETMA kali ini yang akan berlangsung selama tiga hari.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Muhamad Jantan yang mewakili Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, Ahli Lembaga Gabenor USM yang juga Penasihat SKETMA ke-11, Profesor Datuk Dr. Omar Shawkataly dan Penyampai Ucap Utama, Dr. Mohd. Adi Firdaus Tan Abdullah. Teks:Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1334