USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RPJJ SAMBUT PELAJAR BAHARU SIDANG AKADEMIK 2022/2023 SECARA DALAM TALIAN

USM PULAU PINANG, 8 Sept. 2022 – Tahniah diucapkan atas kejayaan menempatkan diri anda di Universiti Sains Malaysia (USM), sebuah universiti yang disegani dan sentiasa menjadi rebutan dalam kalangan puluhan ribu pemohon untuk program ijazah sarjana muda penuh masa, Rancangan Pengajian Jarak Jauh serta program ijazah tinggi saban tahun.

E917461A DD6C 4108 B5D1 8213CE01EC41

Demikian ujar Dekan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Prof. Madya Dr. Zulnaidi Yaakob di Majlis Sambutan Siswa, program Siswa Lestari para pelajar baharu Rancangan Pengajian Jarak Jauh, USM bagi Sidang Akademik 2022/2023 secara dalam talian hari ini.

Menurutnya, untuk sidang akademik kali ini, seramai 534 orang pelajar telah ditawarkan mengikuti program ijazah sarjana muda dalam empat rancangan pengajian utama iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains, Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan, Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan.

“Sebagai perintis program jarak jauh di Malaysia, atau sekarang dikenali sebagai Pembelajaran Sepanjang Hayat, PPPJJ sehingga kini telah berjaya melahirkan lebih daripada 20,000 graduan dalam pelbagai bidang sejak penubuhannya pada tahun 1971.

“Dalam usia 51 tahun, PPPJJ telah melalui pelbagai inovasi sama ada daripada sudut pengisian akademik mahupun perkembangan teknologi pengajaran dan pembelajaran yang digunakan,” tambahnya.

Jelasnya lagi, dengan penggunaan kemudahan teknologi semasa, PPPJJ dapat menawarkan program pengajian yang lebih kreatif dan fleksibel kepada para pelajar.

“Penggunaan kemudahan web-conference (WebEx), rakaman e-Kuliah serta portal e-Pembelajaran telah membuka ruang akses yang lebih luas untuk para pelajar mengikuti aktiviti pengajaran dan pembelajaran tanpa batasan masa dan tempat.

“Apa yang diperlukan ialah kesungguhan saudara-saudari mengekalkan semangat dan iltizam serta tabah dan terus berfikiran positif dalam menempuh apa jua cabaran yang datang,” ujarnya lagi kepada para pelajar baharu.

F11B6AA7 DC57 4916 B52F 2A069945FDD3

Keunikan sambutan siswa RPJJ kali ini adalah melalui penerbitan sebuah video yang menghimpunkan barisan pengurusan tertinggi USM yang memberi ucapan dan semangat buat pelajar baharu kali ini.

Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 – 2025, kerajaan telah menjadikan Pembelajaran Sepanjang Hayat sebagai lonjakan ketiga dari sepuluh lonjakan dalam pelan tersebut.

Antara kepentingan Pembelajaran Sepanjang Hayat yang dimaksudkan oleh kerajaan dalam lonjakan ini ialah membolehkan warga Malaysia mendapat ilmu dan kemahiran bersesuaian dengan model ekonomi berpendapatan tinggi, menggembleng potensi individu yang masih belum berada dalam pasaran kerja menerusi pelbagai peluang meningkatkan kemahiran, memupuk minat dan menyemai bakat untuk kehidupan yang lebih bermakna serta pendidikan tidak hanya terhad kepada usia muda tetapi perlu dilanjutkan sepanjang hayat.

Turut hadir dalam sesi secara dalam talian tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlinda Azman.

Teks: Mohd Rashid B. Abdul Rejab & Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Mohd Rashid B. Abdul Rejab

  • Created on .
  • Hits: 742

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024