USM LANCAR KEMPEN KAWALAN TIKUS
PULAU PINANG, 24 Ogos 2013 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini melancarkan gotong royong perdana sempena Kempen Kawalan Tikus Seluruh Negara peringkat kampus Induk USM dan telah dihadiri lebih 300 staf pentadbiran dan akademik.
Program ini adalah bagi memastikan USM bebas daripada penyakit yang disebabkan oleh tikus terutamanya Leptospirosis atau lebih dikenali sebagai kencing tikus. Namun, tikus ini bukan sahaja bahaya dari segi air kencing malah bulu dan najis juga adalah bahaya kepada kesihatan manusia.
“Kempen ini adalah bertujuan untuk memastikan staf dan pelajar USM bebas daripada penyakit tersebut serta mengekalkan kebersihan kampus sejahtera ini,” kata Pengarah Pusat Sejahtera, Dr. Nurulain Abdullah Bayanuddin.
“Sehingga hari ini, masih belum dijumpai vaksin untuk penyakit kencing tikus tersebut. Oleh yang demikian, semua adalah disarankan untuk menjaga kebersihan, memakai sarung tangan bagi pekerja-pekerja yang terdedah dengan kawasan luar seperti kebun, hutan dan sebagainya. Selain itu, semua adalah diharapkan membasuh tangan sebelum dan selepas makan,” tambah beliau.
Majlis pelancaran kempen ini telah disempurnakan oleh Pendaftar USM, Siti Zubaidah A. Hamid. Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar), Profesor Dr. Adnan Hussein dan ketua-ketua jabatan. - Teks: Nor Rafizah Md Zain/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1726